Rabu, 16 September 2020 | 2:36pm
Aksi tegang antara Neymar (kiri) dan Gonzalez (kanan) ketika perlawanan Ligue 1, Ahad lalu. FOTO AFP
Aksi tegang antara Neymar (kiri) dan Gonzalez (kanan) ketika perlawanan Ligue 1, Ahad lalu. FOTO AFP

Neymar dapat sokongan selepas dipanggil 'monyet'

SAO PAULO: Kerajaan Brazil menyatakan sokongan kepada Neymar selepas bintang itu dilayangkan kad merah ketika aksi Ligue 1, Ahad lalu susulan perkelahian akibat isu perkauman.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu bakal berdepan hukuman Suruhanjaya Tatatertib Liga Perancis selepas menampar kepala pertahanan Marseille, Alvaro Gonzalez di penghujung perlawanan yang menyaksikan PSG tewas 0-1.

Neymar kemudian menuduh pemain Sepanyol itu memanggilnya 'monyet' tetapi Gonzalez menafikannya.

Namun kementerian yang bertanggungjawab berhubung masalah hak asasi di Brazil tetap berada di belakang pemain bola sepak termahal dunia itu.

"Semua pihak dalam bidang sukan, kementerian wanita, keluarga dan hak asasi manusia secara terbuka menyatakan solidariti kepada Neymar berhubung perkara itu," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

"Isu perkauman adalah satu jenayah."

Kenyataan itu keluar selepas Presiden Brazil Jair Bolsonaro memberi maklum balas dalam Twiter dengan retweet kenyataan Neymar.

Neymar antara lima pemain yang dibuang padang susulan perkelahian itu dan dia kini berdepan kemungkinan digantung tujuh perlawanan, begitu juga Gonzalez jika pegawai liga mendapati tuduhan bintang PSG itu benar. - AFP

Berita Harian X