Khamis, 20 Ogos 2020 | 7:47am
Serge Gnabry meledak dua gol dalam kemenangan 3-0 Bayern Munich ke atas Lyon pada separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi. - FOTO AFP
Serge Gnabry meledak dua gol dalam kemenangan 3-0 Bayern Munich ke atas Lyon pada separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi. - FOTO AFP

Bayern ke final Liga Juara-Juara

LISBON: Serge Gnabry meledak dua gol di babak pertama dan Robert Lewandowski turut menemui sasaran ketika Bayern Munich menewaskan Lyon 3-0 pada separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Juara Jerman itu akan bertemu kelab Perancis, Paris Saint-Germain pada aksi final Ahad ini.

Lyon mensia-siakan dua peluang keemasan untuk mendahului permainan di Estadio Jose Alvalade, menerusi Memphis Depay dan Karl Toko-Ekambi.

Hanya beberapa saat selepas percubaan Toko-Ekambi tersasar, Gnabry membuka jaringan untuk Bayern pada minit ke-18 dan sekali lagi pada minit ke-33.

Gnabry, yang meledak empat gol dalam kemenangan 7-2 ke atas Tottenham Hotspur di peringkat kumpulan, kini mengumpul sembilan gol dalam sembilan penampilan di kejohanan itu musim ini.

Jaringan Lewandowski, yang ke-55 untuknya musim ini, hadir dua minit sebelum tamat permainan. Dia terus mendahului senarai penjaring dengan 15 gol.

"Kami sedar perlawanan ini pasti sukar. Kami memerlukan sedikit tuah untuk melepasi peringkat awal sebelum Serge mengubah permainan," kata pengendali Bayern Hansi Flick. - AFP

Berita Harian X