Sabtu, 18 Julai 2020 | 7:36am
PENGENDALI Tottenham, Jose Mourinho.
PENGENDALI Tottenham, Jose Mourinho.

Liga Europa cetus semangat Spurs

LONDON: Pengendali Tottenham, Jose Mourinho memberitahu pemain-pemainnya yang mereka akan memenangi Liga Europa musim depan jika layak ke saingan itu.

Tiga kemenangan daripada empat perlawanan meletakkan mereka sebagai pasukan pilihan untuk layak ke kejohanan kedua terbesar Eropah itu menjelang dua perlawanan terakhir Liga Perdana, bermula dengan Leicester esok.

Tempat keenam akan mengesahkan kelayakan, manakala ketujuh - kedudukan terkini Spurs - sudah mencukupi sekiranya Arsenal gagal memenangi Piala FA.

Mourinho menggunakan prospek kejuaraan musim depan sebagai pencetus semangat kepada anak buahnya, yang tewas pada final Liga Juara-Juara di tangan Liverpool musim lalu.

"Dengan cara yang agak melucukan, saya beritahu pemain-pemain, dua kemenangan lagi untuk mereka memenangi Liga Europa.

"Itu yang saya katakan kepada mereka. Saya tahu ia tidak begitu, saya sedar Liga Europa adalah kejohanan yang panjang dan beberapa pasukan yang bagus, dan ada pasukan dari Liga Juara-Juara yang turun ke Liga Europa di peringkat kalah mati, dan ia menjadikannya lebih sukar.

"Tetapi saya hanya mahu memberi semangat kepada mereka kerana pastinya tahap kami adalah Liga Juara-Juara.

"Saya mahukan Liga Juara-Juara, pemain-pemain sudah beraksi di final Liga Juara-Juara," kata Mourinho. - AFP

Berita Harian X