Sabtu, 20 Jun 2020 | 2:17pm
Ozil langsung tak tersenarai dalam pasukan ketika menentang Manchester City.
Ozil langsung tak tersenarai dalam pasukan ketika menentang Manchester City.

Satu gol Ozil bernilai RM83.76 juta

LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mahu memadam kekalahan 0-3 di tangan Manchester City dalam 'pemacu keras' kelab itu ketika aksi pertama kempen 'restart' Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

Malah, tanpa berselindung dia juga mahu melakukan perkara sama ke atas Mesut Ozil.

Pemain tengah antarabangsa Jerman itu tidak disenaraikan dalam skuad The Gunners pada aksi di Stadium Etihad itu dengan Arteta menjelaskan ia disebabkan faktor taktikal.

Biarpun tidak banyak yang mahu diperkatakan mengenai Ozil, apa yang pasti Arsenal menanggung kerugian besar apabila pemain yang dibayar gaji sebanyak 350,000 pound (RM1.86 juta) seminggu itu tidak diturunkan dalam perlawanan besar.

Ketika saingan liga tertangguh selama tiga bulan, Arsenal berpeluang untuk melakar kejutan atau sekurang-kurangnya mengelak daripada kekalahan berdepan City.

Malah, secara logiknya, sekurang-kurangnya pemain yang menerima gaji tertinggi sepatutnya berada dalam pasukan pada perlawanan itu.

Bagaimanapun, itu tidak berlaku ketika Ozil dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ia lebih kepada dia dilihat tidak mampu mencetuskan impak dalam pertemuan dengan City.

Dalam 23 penampilan dan 1,812 minit tempoh permainan dalam semua kejohanan musim ini, Ozil hanya menjaringkan satu gol dan menjadi pengumpan sebanyak tiga kali.

Dia melakukan 1,051 hantaran - purata 45.7 setiap perlawanan - dan keseluruhan 20 kali terjahan.

Ozil menerima gaji sebanyak 350,000 pound (RM1.86 juta) seminggu dan tidak boleh dilupakan dia juga pemain yang tidak bersetuju dengan pemotongan gaji sebanyak 12.5 peratus ketika pandemik COVID-19.

Itu bermakna, dalam tempoh 45 minggu sejak musim Arsenal bermula pada 11 Ogos tahun lalu, The Gunners sudah membelanjakan 15.75 juta pound (RM83.76 juta) bagi membayar gaji Ozil saja. - Agensi

Kos Ozil

Mesut Ozil menerima gaji sebanyak RM1.86 juta seminggu, bermakna Arsenal sudah membelanjakan RM83.76 juta membayar gajinya sejak musim bermula 11 Ogos lalu

- RM83.76 juta setiap satu jaringan

- RM27.9 juta setiap umpanan

- RM79,649 setiap hantaran

- RM4.18 juta setiap terjahan

- RM46,158 setiap minit perlawanan

- RM42,499 setiap minit apabila Arsenal bermain tanpa Ozil

Berita Harian X