Selasa, 16 Jun 2020 | 9:14pm
Berita kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua Malaysia bimbangkan Vietnam.
Berita kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua Malaysia bimbangkan Vietnam.

Liridon buat Vietnam 'menggigil'

KUALA LUMPUR: Berita kehadiran pemain naturalisasi kedua negara, Liridon Krasniqi bakal menyarung jersi skuad kebangsaan dan beberapa pemain kacukan yang menyatakan kesediaan mewakili Harimau Malaya membuatkan Vietnam tidak senang duduk.

Apa tidaknya, skuad Naga Emas itu bakal bertandang ke gelanggang keramat Harimau Malaya pada Oktober ini bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Berdasarkan laporan media di negara itu, Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) juga akan mengambil langkah untuk memperkuatkan skuad kendalian Park Hang-seo bagi mengharungi tiga aksi terakhir kelayakan.

Antara langkah yang bakal diambil termasuk mengambil pemain naturalisasi atau kacukan seperti yang dilakukan Harimau Malaya.

Setiausaha Agung VFF, Le Hoai Anh mengakui pihaknya mengetahui 'aktiviti naturalisasi' yang dilakukan skuad kendalian Tan Cheng Hoe.VFF sebelum ini dilaporkan akan membawa penjaga gol kacukan Vietnam-Republik Czech yang mana proses dokumentasi sedang diuruskan.

Malah, Hang-seo turut mengakui Harimau Malaya sebagai lawan yang kuat dalam saingan Kumpulan G.

"Mereka lawan yang kuat dan mereka akan beraksi di gelanggang sendiri. Jika kami boleh menang, peluang untuk layak ke peringkat seterusnya lebih cerah," katanya.

Berita Harian X