Rabu, 3 Jun 2020 | 11:54pm
Francisco Cassio de Jesus. - Foto NSTP
Francisco Cassio de Jesus. - Foto NSTP

KAFA minta Cassio diskaun

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) kemungkinan memohon 'diskaun' kepada bekas pemain importnya, Francisco Cassio de Jesus berhubung tuntutan tunggakan gajinya berjumlah RM629,620.28.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid menjelaskan pengurangan jumlah bayaran itu dilihat menjadi antara cadangan penyelesaian yang akan dikemukakan kepada Cassio sebagai usaha menyelesaikan masalah terbabit.

"Kita memang sudah ada perancangan dan ia akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Exco yang berlangsung minggu hadapan. Sebelum ini pun, saya ada maklumkan dua cadangan iaitu pelan ansuran dan lanjutan tempoh pembayaran.

"Kita juga sedang mempertimbangkan meminta pengurangan dalam jumlah pembayaran tuntutan itu. Berhubung perkara itu, kita akan bincangkan dalam mesyuarat dan dapatkan persetujuan bersama nanti," katanya.

Terdahulu, Muzakkir mengesahkan pintu rundingan dengan pemain itu kembali terbuka dan KAFA kini perlu mengemukakan cadangan dalam usaha menyelesaikan tuntutan terbabit.

Bagaimanapun, peguam Cassio, Zhafri Aminurashid menjelaskan rundingan semula itu perlu menjalani proses mediasi di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi memastikan hak Cassio terpelihara.

Dalam masa sama, Muzakkir menjelaskan tabung derma yang dibuka bukan setakat menyelesaikan tuntutan Cassio tetapi bertujuan menyelesaikan semua hutang yang ditanggung persatuan itu.

"Kita buka derma bukan setakat untuk Cassio tetapi menyelesaikan semua hutang yang sedang dihadapi dan hutang akan datang," katanya.

Sebagai rekod, KAFA berdepan satu lagi tuntutan daripada bekas pemain importnya, Bruno Lopez yang berjumlah RM141,103.60 dan difahamkan beberapa kes lagi sudah dipanjangkan ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan tuntutan lebih RM2 juta.

Berita Harian X