Rabu, 3 Jun 2020 | 7:22pm
Radhi calon pilihan ganti Asmirul.
Radhi calon pilihan ganti Asmirul.

Radhi calon popular

ALOR SETAR: Pengganti Asmirul Anuar Aris sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kini menjadi teka-teki dalam kalangan peminat Lang Merah selepas beliau meletak jawatan minggu lalu.

Menurut tradisi pelantikan dalam KFA, calon bagi jawatan itu lazimnya diisi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri sejak beberapa tahun sebelum ini.

Namun dari segi perlembagaan KFA, presiden yang akan dipilih ahli gabungan selepas ini memiliki kuasa melantik mana-mana tokoh.

Jika dilihat pada pilihan calon, Kedah tidak ketandusan tokoh dan antara calon popular ialah legenda, Muhammad Radhi Mat Din yang memiliki pengaruh kuat dalam arena bola sepak Kedah.

Pernah mewakili skuad kebangsaan dari 1989 hingga 1993 dan beliau juga pernah menjadi penolong jurulatih Kedah yang membantu skuad Hijau Kuning menjuarai kejuaraan tiga piala berganda atau dikenali sebagai 'Double Treble' pada zaman bimbingan ketua jurulatih Azraai Khor Abdullah pada 2007 dan 2008.

Selain beliau, seorang lagi tokoh yang dilihat berkaliber ialah bekas Setiausaha Kehormat KFA Datuk Aminuddin Omar yang pernah memegang jawatan berkenaan selama lima tahun sejak Ogos 2013.

Pengalaman Aminuddin itu menjadikan beliau juga calon yang sesuai tambahan pula dengan reputasinya sebagai Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2017.

Berita Harian X