Khamis, 28 Mei 2020 | 2:46pm
AZMEER ingatkan pemain yang bergaji besar supaya tidak terlalu boros dan berfikir mengenai masa depan. - Foto FB Kedah FA
AZMEER ingatkan pemain yang bergaji besar supaya tidak terlalu boros dan berfikir mengenai masa depan. - Foto FB Kedah FA

Azmeer kesal joli sakan, beli 7 kereta

KUALA LUMPUR: Pengalaman lampau pertahanan kental Kedah, Azmeer Yusof yang pernah 'menggilai' kereta dan berbelanja mewah ketika muda jelas memberi pengajaran berguna buat dirinya.

Justeru, pemain berusia 30 tahun itu mengingatkan pemain khususnya yang ketika ini sedang menikmati gaji besar supaya dapat berfikir mengenai masa depan dan tidak terlalu boros untuk menggunakan gaji ke arah perkara 'bukan-bukan' yang sama sekali tidak menguntungkan.

"Jangan mohon kad kredit kalau tidak disiplin untuk membayar. Jangan mohon pinjaman peribadi dan simpan duit dalam Unit Amanah, Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau tabung. Jangan beli kereta dulu sebelum beli rumah kecuali beli kereta terpakai atau murah.

"Kurangkan membeli belah benda yang mahal tetapi tidak digunakan dan beli emas. Insurans juga penting sebagai perlindungan dan berhenti merokok serta beli rumah," nasihat Azmeer.

Dia mendedahkan, dia mengharungi permulaan hidup yang cukup mewah ketika zaman muda dan situasi itu menyebabkan dia langsung tidak berfikir panjang untuk menyimpan dan membeli rumah serta melabur dalam bidang yang menguntungkan.

"Saya pernah membeli tujuh kereta dan ketika umur mencecah 30 tahun, saya masih tidak dapat selesaikan hutang. Saya rasa seperti manusia paling bodoh di dunia kerana dengan gaji dari 2009 hingga 2019, saya sepatutnya selesaikan semua hutang itu tetapi saya gagal.

"Antara perkara bodoh yang saya buat adalah memohon sehingga lima kad kredit, buat pinjaman peribadi dan beli kereta Satria Neo, Honda City, Mitsubishi Lancer, Audi, Honda FD, Vellfire dan D-Max. Saya cuba beli rumah pada 2014 tetapi pinjaman tidak lepas kerana pinjaman peribadi, kad kredit, kereta dan lain lain.

"Selepas itu, saya berjanji untuk menjual semua kereta kecuali Vellfire kerana saya niatkan untuk kegunaan ibu bapa. Saya selesaikan hutang kad kredit dan juga pinjaman peribadi. Sebelum ini, komitmen saya mencecah RM10,000 sebulan, kini ia semakin sikit dan tidak memeningkan kepala kalau gaji tidak masuk atau apa-apa terjadi pada karier saya.

"Apa yang berlaku semua ini juga, Allah 'menghadiahkan' rumah sendiri kepada saya di Alor Setar. Semoga menerusi sebuah rumah ini, saya dapat kembangkan lagi untuk membeli membeli seberapa banyak rumah dengan izin Allah," katanya.

Berita Harian X