Khamis, 28 Mei 2020 | 10:12am
Safawi Rasid dan Ronaldinho.
Safawi Rasid dan Ronaldinho.

'Jangan jadi seperti Ronaldinho'

KUALA LUMPUR: "Ambil iktibar daripada Ronaldinho!"

Itu saranan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa kepada penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid yang dilihat berbelanja mewah menerusi pembelian kereta baharu, Porsche Cayman 987.

Menurut Sadek, tiada siapa boleh menghalang sekiranya Safawi mahu bergaya hidup mewah, namun sebagai pemain bola sepak, dia perlu tahu untuk menyeimbangkan keperluan dan kehendak serta memiliki perancangan strategik untuk persaraannya nanti.

"Kita lihat banyak contoh di mana pemain hidup mewah namun selepas tidak lagi bermain, mereka terbeban dengan hutang contohnya pemain bola sepak terkenal, Ronaldinho. Kita tidak mahu Safawi berada dalam situasi sama nanti.

"Bergaya itu tidak salah tetapi perlu beringat juga. Karier bola sepak tidak begitu panjang, jadi sebab itulah ketika dia sedang berada di puncak ketika ini, dia perlu ada rancangan untuk hari tuanya.

"Sebagai pemain muda, dia boleh mengambil nasihat daripada pemain senior di JDT yang banyak meneroka peluang di luar bidang bola sepak seperti hartanah dan perniagaan.

"Tidak salah berseronok ketika waktu muda bagi menjaga imej eksklusif tetapi pastikan kita dapat terus selesa pada hari tua nanti khususnya kalau tidak lagi terbabit dalam industri bola sepak," katanya.

Terdahulu, Ronaldinho yang juga pemenang Ballon d'Or pada 2005 dilaporkan memiliki kekayaan 80 juta pound (RM428 juta) namun selepas bersara, dia berdepan pelbagai masalah dan dikatakan hanya memiliki 5 pound (RM26) dalam akaun banknya.

Sementara itu, legenda bola sepak Johor, Rizal Sukiman melihat kemewahan yang dinikmati Safawi ketika ini dapat menjadi motivasi kepada pemain muda yang lain dalam usaha meningkatkan prestasi masing-masing.

"Dia pemain yang muda tetapi sudah mencapai apa yang dihajatkan. Dia boleh menjadi model, bukan sahaja kepada pemain muda tetapi kepada remaja seusianya untuk terus bekerja keras dalam bidang yang diceburi.

"Apa yang Safawi dapat ini juga membuktikan bahawa JDT sentiasa menjaga kebajikan pemain dan secara tidak langsung memberi kesan positif kepada prestasi pemain," katanya.

Berita Harian X