Selasa, 26 Mei 2020 | 9:11pm
Skuad B-18 mahu diberi ruang sama berlatih seperti atlet ke Sukan Olimpik dan Paralimpik.
Skuad B-18 mahu diberi ruang sama berlatih seperti atlet ke Sukan Olimpik dan Paralimpik.

Skuad B-18 minta kebenaran berlatih awal

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 18 Tahun (B-18) kebangsaan berharap diberikan kebenaran untuk mengikuti kem latihan berpusat lebih awal menjelang Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

Pengurus pasukan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, berkata pasukannya wajar diberikan peluang sama seperti Program 'Road To Tokyo 2020' yang mendapat kelonggaran khas daripada kerajaan bermula 1 Jun, sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, tahun depan.

Katanya, Kejuaraan B-19 AFC 2020 itu merupakan medan kelayakan ke Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2021 di Indonesia dan skuad B-18 kebangsaan menyasarkan muncul pasukan negara pertama layak secara merit beraksi di Piala Dunia.

"Seperti semua maklum, kontinjen ke Sukan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo telah ada perancangan tertentu, tiada bezanya dengan skuad B-18 yang sedang melayakkan diri ke Piala Dunia B-20 2021, wajar diberi peluang untuk mengadakan latihan awal.

"Saya amat berharap kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi peluang melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar skuad B-18 kebangsaan diberi ruang sama seperti atlet ke Sukan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pasukannya yang muncul naib juara Kejuaraan B-19 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019 dan menjuarai saingan Kumpulan G Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020, memerlukan tempoh persediaan rapi sekurang-kurangnya enam hingga lapan minggu.

"Ketua jurulatih Brad Maloney memaklumkan kami memerlukan enam hingga lapan minggu untuk menyediakan sebuah pasukan mantap yang mampu bersaing melepasi peringkat separuh akhir, jika berjaya kami akan layak secara merit ke Piala Dunia B-20 2021," tambah beliau.

Selasa lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran khas melibatkan 265 individu termasuk 57 atlet di bawah Program 'Road To Tokyo 2020' kembali menjalani latihan harian bermula bulan depan.

Sesi latihan berkenaan akan dijalankan di tiga Kem Latihan Berpusat yang telah ditetapkan, iaitu Kompleks Sukan Bukit Jalil yang melibatkan 181 individu, Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara (56) dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi (28).

Setakat ini, aktiviti bola sepak profesional di Malaysia yang ditangguhkan sejak 16 Mac lepas hanya dibenarkan kembali bersambung pada September depan dengan semua pasukan bertanding dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2020 dibenar kembali menjalani sesi latihan pada Ogos.

Berita Harian X