Ahad, 24 Mei 2020 | 4:17pm
Bekas Pengarah Urusan Team Red Warriors Sdn Bhd (TRWSB), Datuk Wan Rakemi Wan Zahari mendedahkan beliau membelanjakan RM3.5 juta untuk menggerakkan pasukan Kelantan musim ini. - NSTP/Fathil Asri
Bekas Pengarah Urusan Team Red Warriors Sdn Bhd (TRWSB), Datuk Wan Rakemi Wan Zahari mendedahkan beliau membelanjakan RM3.5 juta untuk menggerakkan pasukan Kelantan musim ini. - NSTP/Fathil Asri

Wan Rakemi dedah sudah belanja RM3.5j untuk Kelantan

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Urusan Team Red Warriors Sdn Bhd (TRWSB), Datuk Wan Rakemi Wan Zahari mendedahkan beliau membelanjakan RM3.5 juta untuk menggerakkan pasukan Kelantan musim ini.

Beliau berkata, jumlah yang disalurkan menerusi dana daripada syarikat miliknya, After Image Sdn Bhd itu merangkumi perbelanjaan semasa pasukan untuk musim di Liga Malaysia (Liga M) 2020 dan bayaran tunggakan gaji bekas pemain.

Katanya, usaha itu dilakukan bagi memastikan Kelantan tidak berdepan hukuman pemotongan mata atau tidak dibenarkan menyertai saingan Liga M.

"After Image selaku rakan kongsi kepada TRWSB sudah mendahulukan duit syarikat sebanyak RM3.5 juta untuk menggerakan pasukan Kelantan.

"Selain itu, wang berkenaan turut dijadikan sebagai modal menghasilkan produk TRW seperti jersi pasukan, air mineral dan banyak lagi bagi memastikan aliran tunai pasukan sentiasa kukuh," katanya kepada BH Sukan.

Wan Rakemi melepaskan jawatan sebagai Pengarah Urusan TRWSB, Khamis lalu sekali gus menyaksikan After Image Sdn Bhd turut menarik diri daripada syarikat berkenaan.

Syarikat terbabit adalah pemegang taruh terbesar dalam TRWSB iaitu sebanyak 80 peratus, manakala 20 peratus milik Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Pengunduran Wan Rakemi selaku individu penting terutama dari aspek kewangan TRW memberi tamparan hebat buat KAFA yang kini berdepan isu tunggakan gaji bekas pemain berjumlah jutaan ringgit.

Selain itu, Wan Rakemi menjelaskan pandemik COVID-19 memberi impak besar untuk ditanggung oleh TRWSB dalam mendapatkan aliran tunai.

"Hal ini kerana TRW bergantung sepenuhnya kepada kutipan tiket perlawanan, jualan jersi dan sebagainya. Situasi ini berbeza dengan pasukan yang mendapat suntikan dana dari kerajaan negeri.

"Penularan COVID-19 menyebabkan segala perancangan mengukuhkan kantung kewangan TRW gagal dilaksanakan di saat pasukan memerlukan aliran tunai yang kukuh untuk terus kekal bersaing," katanya.

Berita Harian X