Sabtu, 23 Mei 2020 | 7:13am

Union jadi mangsa Hertha

BERLIN: Tuan rumah, Hertha menang saingan tetangga Berlin apabila mengatasi Union awal pagi tadi menerusi kemenangan 4-0 di Stadium Olympic berkapasiti 74,000 tempat duduk yang hampir kosong.

Hertha kini di tangga ke-10 selepas perlawanan pusingan kedua sejak Bundesliga bermula dalam kawalan ketat akibat COVID-19 hasil jaringan babak kedua Vedad Ibisevic, Dodi Lukebakio, Matheus Cunha dan Dedryck Boyata.

"Ia pasti sesuatu yang menakjubkan jika kami boleh bermain perlawanan seperti ini di depan 75,000 penonton. Tapi saya harap penyokong sekurang-kurangnya gembira di depan TV," kata jurulatih Hertha, Bruno Labbadia.

"Pada babak pertama, kami bermain sangat baik berdepan lawan yang amat teratur. Saya perlu memberi arahan dengan jelas keoada pasukan saya pada babak pertama kerana mereka rasa agak negatif.

"Pada penghujungnya kami gembira kerana ia adalah mata yang penting dalam pertarungan mengelak penyingkiran."

Malam ini, pasukan tangga kedua Borussia Dortmund boleh merapatkan kedudukan kepada satu mata di belakang pendahulu, Bayern Munich dengan kemenangan mengatasi Wolfsburg.

Bayern akan menanti kehadiran Eintracht Frankfurt yang berkedudukan ke-13 tengah malam ini.

Borussia Moenchengladbach pula akan menanti kehadiran Bayer Leverkusen. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X