Jumaat, 15 Mei 2020 | 10:42pm
PASUKAN Borrusia Dortmund menjalani latihan menjelang aksi pertama yang kembali bersambung ketika pandemik Covid-19.
PASUKAN Borrusia Dortmund menjalani latihan menjelang aksi pertama yang kembali bersambung ketika pandemik Covid-19.

Liga Jerman disambung kembali mulai esok

BERLIN: Liga bola sepak Jerman akan mencuri tumpuan, esok apabila menjadi liga Eropah pertama yang kembali bersambung ketika pandemik COVID-19 melanda dunia.

Selepas dua bulan ditangguhkan, Liga Bolasepak Jerman (DFL) terpaksa melakukan perancangan rapi bagi mendapat kelulusan daripada Canselor, Angela Merkel dan 16 ketua negeri.

Saingan liga bola sepak masih tertangguh sekurang-kurangnya sebulan lagi di England, Itali dan Sepanyol manakala Perancis pula sudah pun memutuskan untuk menamatkan kempen musim ini.

Perlawanan Bundesliga hujung minggu ini akan menjadi tumpuan seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Bundesliga, Christian Seifert memberi amaran perlawanan yang bakal berlangsung secara tertutup bagi mengelak risiko jangkitan pastinya akan kelihatan berbeza.

Jeritan pemain pastinya akan bergema di dalam stadium dan mereka hanya boleh meraikan gol dengan bertepuk siku atau kaki.

Ini kerana, pemain diarahkan untuk tidak bersalaman atau berpelukan. Pemain dan jurulatih dibangku simpanan perlu memakai pelitup muka.

Tahap kecergasan pemain menjadi kebimbangan buat pasukan apabila mereka hanya mula berlatih sejak minggu lalu dalam kumpulan kecil. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X