Selasa, 5 Mei 2020 | 7:17am
Ronaldo kembali ke Itali awal pagi tadi selepas hampir dua bulan berkurung berikutan COVID-19. - IG Ronaldo
Ronaldo kembali ke Itali awal pagi tadi selepas hampir dua bulan berkurung berikutan COVID-19. - IG Ronaldo

Ronaldo kembali ke Turin

MILAN: Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo kembali ke Itali awal pagi tadi selepas hampir dua bulan berkurung berikutan COVID-19 di negara kelahirannya, Portugal.

Ronaldo dan keluarganya mendarat di Lapangan Terbang Turin pada jam 10.20 malam waktu tempatan menurut laporan media di Itali.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu tiba dengan jet peribadi dari Pulau Madeira dekat Portugal dan akan menjalani kuarantin selama dua minggu.

Pemain berusia 35 tahun itu kali terakhir beraksi buat Juventus dalam Serie A ketika menang 2-0 mengatasi Inter Milan di Allianz Stadium 8 Mac lalu sebelum musim bola sepak Itali digantung berikutan COVID-19 yang membunuh lebih 29,000 orang di negara berkenaan.

Ronaldo kembali ke Madeira selepas pertemuan dengan Inter Milan untuk bersama ibunya, Dolores yang mengalami strok.

Juventus memanggil 10 pemain luar negara mereka ketika kelab Serie A diberikan lampu hijau untuk kembali berlatih semalam. - AFP

Berita Harian X