Isnin, 4 Mei 2020 | 8:13pm
Pemain Pahang, Mohd Faizal Abd Rani menjual juadah berbuka puasa di Jalan Darat Makbar, Kuantan.- Foto Mohd Rafi Mamat
Pemain Pahang, Mohd Faizal Abd Rani menjual juadah berbuka puasa di Jalan Darat Makbar, Kuantan.- Foto Mohd Rafi Mamat

Pemain Tok Gajah jual juadah iftar

KUANTAN: Tanpa sebarang aksi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penyerang muda pasukan Pahang, Mohd Faizal Abd Rani kini meluangkan masa terluang dengan menjual juadah berbuka puasa di daerah ini sejak awal Ramadan.

Pemain berkenaan menjual kira-kira 10 jenis kuih dan lauk pauk secara pandu lalu dan bungkus di premis Bonda Nieyna di Jalan Darat Makbar, di sini, bermula jam 3 petang hingga 7 malam. Premis perniagaan itu turut beroperasi pada waktu malam.

"Saya seronok berniaga apabila dapat membantu orang ramai yang tidak berpeluang menyediakan juadah berbuka puasa kerana tugasan selain PKP yang kini memasuki fasa ke empat.

"Sebelum ini peminat Tok Gajah melihat saya beraksi di tengah padang namun kali ini mereka dapat melihat saya berniaga makanan pula," katanya yang memasuki musim ke lima bersama skuad Tok Gajah.

Mohd Faizal yang sebelum ini pernah beraksi dengan pasukan Piala Presiden Pahang dan Shahzan Muda berkata, aktiviti perniagaan juadah berbuka puasa tahun ini agak perlahan berbanding sebelumnya berikutan PKP yang menyebabkan pengguna tidak dibenarkan keluar rumah.

Pemain Pahang, Mohd Faizal Abd Rani ketika beraksi bersama Tok Gajah.- Foto ihsan Mohd Faizal Abd Rani
Pemain Pahang, Mohd Faizal Abd Rani ketika beraksi bersama Tok Gajah.- Foto ihsan Mohd Faizal Abd Rani

Pun begitu beliau mengakui seronok melihat ramai pemain bola sepak tempatan yang terbabit dengan pelbagai perniagaan sepanjang Ramadan bagi menambah pendapatan terutama apabila Liga Malaysia ditangguhkan.

"Sepanjang berniaga pelbagai ragam pelanggan ditemui. Ada yang kenal saya pemain Tok Gajah dan sebaliknya.

"Untuk berjaya dalam apa juga bidang, saya sentiasa berpegang dengan cogan kata `usaha tangga kejayaan dan rezeki pasti dengan bantuan Yang Maha Esa'. Peluang yang terhidang perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh," katanya yang berasal dari Kuala Besut, Terengganu.

Mengenai kontrak bersama pasukan Pahang yang berakhir hujung tahun ini, Mohd Faizal berkata sebagai pemain profesional dia perlu mencari pasukan baru sekiranya Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) tidak berminat menyambung khidmatnya lagi.

Berita Harian X