Ahad, 26 April 2020 | 6:22pm
Mesut Ozil membeli rumah berkembar mewah enam bilik pada 2016.
Mesut Ozil membeli rumah berkembar mewah enam bilik pada 2016.

Cara Ozil guna gaji RM1.88 juta seminggu

LONDON: Siapa tidak kenal dengan pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil. Dengan gaji sebanyak 350,000 pound (RM1.88 juta) seminggu, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila bintang Jerman itu bijak menjalani kehidupan serba mewah.

Dia yang baru-baru ini dipalit kontroversi apabila enggan gajinya dipotong sebanyak 12.5 peratus tinggal di kediaman mewah berharga 10 juta pound (RM53.9 juta) di Utara London.

Ozil menggunakan koleksi kereta mewahnya yang kebanyakannya model Mercedes berharga 800,000 pound (RM4.3 juta) untuk ke pusat latihan The Gunners di London Colney.

Antara koleksi kereta mewah Ozil berharga 800,000 pound (RM4.3 juta).
Antara koleksi kereta mewah Ozil berharga 800,000 pound (RM4.3 juta).

Bagaimanapun, apa yang menariknya mengenai perwatakan Ozil adalah dia tidak lupa untuk melakukan kebajikan.

Dia sering menanggung kos pembedahan kanak-kanak yang berpenyakit selain memberi sumbangan makanan kepada 100,000 orang yang kehilangan tempat tinggal di 16 kem pelarian di Turki dan Syria.

Ozil, 31, berpindah daripada Real Madrid ke Arsenal pada 2014 dengan yuran perpindahan bernilai 42.5 juta pound (RM229 juta).

Bagaimanapun, hanya pada 2016 dia membeli rumah berkembar mewah enam bilik yang terletak di Utara London itu.

Dekorasinya banyak dipengaruhi latar belakang Ozil yang mempunyai darah kacukan Turki.

Malah, semua marmar di ruang tamu di import dari Turki dengan dekorasinya mendapat sentuhan rakannya yang juga seorang pereka dalaman.

Ruang tamu.
Ruang tamu.

Marmar yang diimport dari Turki.
Marmar yang diimport dari Turki.

Jika memasuki bilik kegemarannya, terasa seperti melangkah ke bazar di Istanbul apabila ia dihiasi dengan menarik.

Dinding bilik ruang tamu tergantung lukisan kerangka gangsa Sultan Ottoman iaitu pemerintah Istanbul.

Itulah tempat Ozil sering bersantai bersama keluarga atau rakannya.

Ruang tamu tempat bersantai bersama keluarga atau rakan.
Ruang tamu tempat bersantai bersama keluarga atau rakan.

Namun, apa yang paling mencuri perhatian di kediaman pemain itu apabila melihat logo jenamanya yang terpampang di pintu pawagam rumah dan bilik permainannya.

Di bilik itu, Ozil gemar menghabiskan masa bermain permainan video FIFA dan menonton filem bersama isterinya, Amine Gulse.

Walaupun mempunyai latar belakang Turki, namun dia sangat menggemari kereta buatan Jerman, Mercedes Benz.

Kereta kegemaran yang sering dipandunya adalah G63 AMG - yang berharga 143,305 pound (RM772,488). Dia turut memiliki S65 AMG yang berharga 183,000 pound (RM986,464) selain SLS AMG bernilai 165,030 pound (RM889,597).

Ozil tidak hanya tertumpu kepada model Mercedes dengan pemain itu turut memiliki kereta model Ferrari 458 Italia, Porsche Panamera Turbo, selain Audi.

Dalam pada itu, Ozil turut memiliki bilik khas di kediaman mewahnya itu bagi menempatkan koleksi kasut dan barangan aksesori. - Agensi

Rumah berkembar mewah yang terletak di Utara London.
Rumah berkembar mewah yang terletak di Utara London.

Biodata Mesut Ozil

Tarikh lahir: 15 Oktober 1988 (31 tahun)

Tempat lahir: Gelsenkirchen, Jerman

Tinggi: 1.83 m

Posisi: Pemain tengah

Kelab: Arsenal

Jersi: 10

Karier remaja:

1995–1998: Westfalia 04 Gelsenkirchen

1998–1999: Teutonia Schalke-Nord

1999–2000: Falke Gelsenkirchen

2000–2005: Rot-Weiss Essen

2005–2006: Schalke 04

Karier senior:

2006–2008: Schalke 04

2008–2010: Werder Bremen

2010–2013: Real Madrid

2013–sekarang: Arsenal

Skuad kebangsaan:

2006–2007: Jerman B19

2007–2009: Jerman B21

2009–2018: Jerman

Berita Harian X