Selasa, 21 April 2020 | 8:54am
Penyerang Real Madrid, Gareth Bale.
Penyerang Real Madrid, Gareth Bale.

Bale kekal bersama Real

LONDON: Gareth Bale hampir pasti kekal bersama Real Madrid selepas kelab gergasi Sepanyol itu memberi jaminan tidak akan membeli penyerang baharu.

Penyerang antarabangsa Wales berusia 30 tahun itu yang masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun sememangnya mahu kekal menyarung jersi Real di sebalik hubungan dinginnya dengan jurulatih, Zinedine Zidane.

Bekas bintang Tottenham Hotspur itu diberitahu oleh pihak pengurusan kelab yang mereka gembira jika Bale terus kekal di Santiago Bernabeu.

Dengan masalah kewangan yang dihadapi susulan pandemik COVID-19 selain kerja menaik taraf stadium yang menelan kos sebanyak 500 juta pound (RM2.7 bilion), Real terpaksa menangguhkan hasrat bagi membeli pemain baharu.

Bale sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain tetapi dengan gajinya sebanyak 650,000 pound (RM3.5 juta) seminggu, tiada mana-mana kelab Liga Perdana Inggeris mampu untuk membelinya.

Pada musim lalu, kelab China, Jiangsu Suning hampir menandatangani Bale dengan tawaran gaji sebanyak 1 juta pound (RM5.45 juta) seminggu tetapi perpindahan itu dihalang Real pada saat akhir.

Musim ini, dia hanya membuat 14 penampilan dalam saingan La Liga selepas mengalami kecederaan betis dan buku lali.

Selepas 27 perlawanan musim ini, Real yang menghuni tangga kedua ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Barcelona. - Agensi

Berita Harian X