Jumaat, 17 April 2020 | 8:07pm
Hunter melakukan 540 penampilan bersama Leeds.
Hunter melakukan 540 penampilan bersama Leeds.

Hero England meninggal dunia akibat COVID-19

LONDON: Legenda England dan Leeds United, Norman Hunter meninggal dunia selepas didapati positif COVID-19.

Bekas pemain berusia 76 tahun itu dimasukkan ke hospital, awal minggu lalu.

Hunter yang melakukan 540 penampilan bersama Leeds dan meraih 24 kap bersama England adalah sebahagian daripada skuad ‘Three Lions’ yang merangkul Piala Dunia 1966 di laman sendiri.

Dalam satu kenyataan, Leeds United menjelaskan wira mereka itu meninggal dunia, pagi tadi.

Jurucakapnya berkata, Norman dibawa ke hospital minggu lalu selepas didiagnos dengan COVID-19 dan walaupun sudah berjuang serta dibantu usaha keras kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), dia akhirnya meninggal dunia.

“Satu kehilangan yang besar buat keluarga Leeds United, legasinya tidak akan dilupakan dan kami berkongsi kesedihan bersama keluarga dan rakan Norman ketika detik sukar ini.”

Pertahanan tengah itu mendapat gelaran ‘Biter Yer Legs’ dan memenangi dua kejuaraan liga bersama pasukan itu. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X