Khamis, 16 April 2020 | 10:01pm
Azraai anggap bola sepak Malaysia tak boleh dipisahkan dengan politik.
Azraai anggap bola sepak Malaysia tak boleh dipisahkan dengan politik.
Akmal kini menjadi penolong jurulatih Pulau Pinang.
Akmal kini menjadi penolong jurulatih Pulau Pinang.

'Tunggakan gaji sudah sinonim dengan bola sepak Malaysia'

KUALA LUMPUR: ‘Tak perlu panik, tak perlu bimbang!’

Itu pandangan bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah ketika mengulas tunggakan gaji yang dihadapi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sehingga menarik perhatian Penaung Diraja Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Jurulatih berpengalaman itu berkata, situasi itu bukanlah satu perkara yang luar biasa memandangkan ia sudah sinonim dengan ‘bola sepak Malaysia’ dan penjelasan yang diberikan KFA tampak sudah memadai.

“Kalau lihat penjelasan KFA itu, kita perlu terimalah. Bukan setakat Kedah sahaja tetapi boleh dikatakan hampir semua pasukan turut bergantung kepada dana kerajaan negeri untuk bergerak kerana bola sepak Malaysia memang tidak dapat dipisahkan dengan politik.

“Malah, dalam sejarah KFA pun saya rasa tidak pernah berhutang dalam jumlah yang besar, jadi saya yakin pengurusan ada cara untuk menyelesaikan masalah itu. Kita pun perlu faham situasi semasa yang menjadi punca masalah ini dan semua pasukan turut mengalaminya.

“Apapun, KFA sudah berjanji menyelesaikan masalah ini dan saya percaya mereka boleh melakukannya,” katanya.

Sementara itu, bekas pemain Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli optimis masalah itu dapat diselesaikan menerusi kerjasama antara KFA dan pemain serta barisan kejurulatihan.

“Kalau sekadar menuding jari ke mana-mana pihak, sudah tentu ia bukanlah satu senario yang baik untuk bola sepak kita. KFA perlu tahu bahawa pemain juga memiliki komitmen dan pembayaran gaji mengikut seperti yang termaktub dalam kontrak.

“Jadi, mereka perlu membuat perbincangan secara dalaman dan mendapatkan penyelesaian terbaik yang mampu memberikan situasi menang-menang terhadap kedua-dua pihak,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris mengesahkan kesukaran yang dialami pihak penaja akibat kesan pandemik COVID-19 yang melanda negara memberi kesan langsung terhadap pembayaran gaji pemain.

Selain itu, Asmirul berkata fokus kerajaan negeri juga ditumpukan untuk berdepan masalah COVID-19 sekali gus meletakkan bola sepak sebagai agenda kedua namun kerajaan negeri masih mempunyai dana untuk langkah penyelesaian selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berita Harian X