Khamis, 9 April 2020 | 9:27pm
Ronaldo bersama Georgina dan anak-anak mereka.
Ronaldo bersama Georgina dan anak-anak mereka.

Ronaldo sewa rumah RM18,854 seminggu

LONDON: Cristiano Ronaldo meninggalkan rumah mewahnya dan berpindah ke rumah sewa berharga 3,500 pound (RM18,854) seminggu berhampiran perkampungan nelayan yang sunyi.

Penyerang Juventus itu dilaporkan memilih rumah berkenaan kerana ia memiliki taman yang luas sekali gus memberikan ruang untuk dia menghabiskan masa bersama teman wanitanya, Georgina Rodriguez dan anak-anak mereka.

Ronaldo sebelum ini tinggal di kompleks apartment tujuh tingkat di Madeira namun petunjuk pertama yang membuktikan pemain berusia 35 tahun itu sudah berpindah adalah menerusi video yang dikongsi di laman Instagramnya.

Video terbabit memaparkan dia dan Georgina sedang bergilir untuk memecut menaiki jalan mendaki namun keadaan sekeliling dalam video terbabit yang menunjukkan taman yang luas jauh berbeza dengan persekitaran di blok apartment di Madeira.

Akhbar Portugal, Correio da Manha menyatakan pemain itu berpindah ke rumah dengan lima bilik berhampiran perkampungan nelayan di Canical yang terletak di timur Madeira.

Rumah terbabit difahamkan memiliki bilik permainan, gimnasium, kolam renang dan taman yang membolehkan anak mereka, Ronaldo Jr, pasangan kembar, Eva dan Mateo serta Alana Martina bermain bersama.

Media terbabit yang memetik sumber berkata ‘Ronaldo perlukan ruang dan dia rasa terkurung di dalam apartment.

“Tempat baharunya ada taman yang luas dan lebih privasi. Ronaldo sudah biasa dengan kehidupan yang sunyi,” kata sumber berkenaan. -Agensi

Berita Harian X