Khamis, 2 April 2020 | 8:48pm
Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim. - NSTP/Nazri Abu Bakar
Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Fikir potong gaji selepas bayar tunggakan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) akan melunaskan tunggakan gaji berjumlah lebih RM1 juta terlebih dahulu sebelum mula memikirkan untuk mengenakan pemotongan gaji kepada pemain.

Setiausaha Agungnya, Farhan Ibrahim mengakui keadaan semasa menyebabkan kedudukan kewangan mereka meruncing namun fokus utama pengurusan adalah untuk menyelesaikan tunggakan dua bulan gaji yang dihadapi mereka terlebih dahulu.

Dalam masa sama, Farhan tidak menolak kemungkinan MUSA akan mengadakan perbincangan dengan pemain untuk mengusulkan pendekatan bagi mengenakan pemotongan gaji.

“Kami ada urusan lain yang perlu diselesaikan sebelum membuat pemotongan iaitu menjelaskan tunggakan gaji pemain supaya tidak dikenakan tindakan.

“Sudah tentu penularan wabak COVID-19 menjejaskan sumber pendapatan kami jadi kami perlu mengambil langkah seterusnya demi memastikan kelangsungan pasukan.

“Berkaitan pemotongan gaji, kami akan mengikut garis panduan ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum melaksanakannya menerusi perbincangan bersama pemain,” katanya.

Terdahulu, Melaka United (MU) berdepan padah selepas dikenakan pemotongan tiga mata serta merta susulan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan.

Situasi itu menyaksikan MU yang ketika ini menghimpun enam mata untuk menghuni tangga ketiga terperosok ke tangga ke-11 liga selepas kutipan mata menjadi tiga.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X