Jumaat, 27 March 2020 | 5:28pm

PFAM bantah potong gaji pemain

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) tidak bersetuju dengan hasrat beberapa pasukan mahu memotong gaji pemain susulan penangguhan Liga Malaysia (Liga M) akibat penularan COVID-19.

Ia juga sebagai maklum balas mengenai kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), semalam yang meminta pasukan mengadakan perbincangan terbuka bersama pemain mengenai semua perkara termasuk soal gaji.

PFAM dalam kenyataan, hari ini bagaimanapun berpendirian bahawa kontrak perlu dihormati dan dipatuhi seperti dipersetujui terutama berhubung isu pembayaran gaji.

"Tanpa mahu mencetuskan polemik antara pasukan dan pemain, dengan penuh hormat, kami menggesa pihak pasukan melunaskan tanggungjawab mereka selaku majikan.

"Isu potongan gaji mahupun penangguhan gaji (jika ada), tidak seharusnya dibangkitkan ketika ini. Sangat tidak adil menjadikan pemain sebagai 'mangsa' untuk survivaliti kewangan pasukan.

"Kami agak berdukacita, dengan segala usaha yang kami lakukan demi pasukan, bermain dengan sepenuh hati, berjuang tanpa henti, merisikokan diri dengan kecederaan yang boleh menutup karier kami, mematuhi segala arahan dan obligasi dalam kontrak, tetapi ketika kita semua berhadapan ancaman segetir ini, ada pasukan melihat kami sebagai liabiliti," kata PFAM.

Sebelum ini, beberapa pasukan termasuk Kelantan dan Pulau Pinang dilaporkan berhasrat mengadakan perbincangan bersama pemain bagi membuat pemotongan gaji sekiranya liga terpaksa ditangguh dalam tempoh yang lama.

Selain itu, PFAM menjelaskan pemain sangat memerlukan gaji bagi menampung komitmen yang ditanggung selain tidak semua dalam kalangan mereka bergaji besar.

"Ada yang terpaksa berbelanja lebih untuk menjaga isi rumah, ada juga yang terpaksa menanggung ahli keluarga yang tidak mempunyai pendapatan di waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini dan pelbagai lagi hal peribadi yang lain.

"Belum lagi dikira pemain yang masih tidak mendapat gaji walau sebelum penangguhan liga berlaku.

"Seperti semua maklum, pasukan yang memberi bayangan untuk pemotongan gaji adalah dalam kalangan pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X