Rabu, 25 March 2020 | 3:03pm
Bekas perancang Liverpool, Momo Sissoko.
Bekas perancang Liverpool, Momo Sissoko.

Liverpool lebih baik tanpa Salah: Sissoko

LONDON: Sadio Mane akan meninggalkan Liverpool untuk ke Real Madrid, menurut Momo Sissoko – manakala pemergian Mohamed Salah lebih baik buat kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Bekas perancang Liverpool itu berkata Real akhirnya akan mendapat salah seorang daripada pemain yang menjadi sasaran mereka itu.

Salah dan Mane – kedua-duanya berada dalam kelompok 10 pemain paling bernilai dunia – berada dalam radar pengendali Real Zinedine Zidane sejak musim panas lalu dan bakal berpindah sekiranya memenangi gelaran sulung Liga Perdana Inggeris mereka.

Selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara tahun lalu, tiada apa lagi yang mahu dikejar oleh bintang-bintang Liverpool itu sekiranya berjaya menamatkan kemarau 30 tahun Liga Perdana di Anfield.

Skuad kendalian Jurgen Klopp kini mendahului Liga Perdana dengan kelebihan 25 mata dengan hanya sembilan perlawanan berbaki – memerlukan dua kemenangan lagi untuk mengesahkan kejuaraan.

“Saya lihat Mane di Real Madrid (berbanding Salah). Dia (Mane) mempunyai kriteria yang Zidane mahukan. Saya rasa Mane akan ke Real Madrid.

“Saya tidak pasti jika Salah akan terus bersama Liverpool. Tetapi jika dia pergi, ia lebih baik untuk pasukan.

“Liverpool cukup bijak untuk mencari penggantinya,” kata Sissoko. – AGENSI

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X