Rabu, 25 March 2020 | 12:22pm
Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo. - Foto Reuters
Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo. - Foto Reuters

Ronaldo terbaik dunia: Pele

BRASILIA, Brazil: Legenda bola sepak Brazil, Pele mendakwa Cristiano Ronaldo lebih bagus berbanding Lionel Messi – tetapi dia masih kekal sebagai pemain bola sepak paling hebat sepanjang zaman.

Pele, 79, yang memegang rekod dunia Guinness sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman, belum merasakan kedua-dua pemain itu dapat menyaingi reputasinya.

Walaupun kebanyakan daripada 1,282 jaringannya menerusi perlawanan persahabatan tidak rasmi, juara dunia tiga kali itu tetap kekal menerajui senarai pemain terhebat sepanjang zaman.

“Hari ini pemain terbaik dunia adalah Cristiano Ronaldo. Saya rasa dia adalah yang terbaik kerana lebih konsisten, tetapi anda tidak boleh ketepikan (Lionel) Messi, sudah tentu, tetapi dia bukan penyerang,” kata Pele.

 

Ronaldo, 35, menjaringkan 725 sepanjang karier gemilangnya tetapi Messi, tiga tahun lebih muda, merekodkan 697 jaringan walaupun bukan sebagai penyerang.

 

Legenda Santos itu turut menamakan beberapa nama besar lain yang hampir menandingi kehebatannya.

“Kita tidak boleh lupakan Zico, Ronaldinho dan Ronaldo (Brazil). Dan di Eropah, Franz Beckenbauer dan Johan Cruyff.

“Sekarang, ia bukan salah saya, tetapi saya rasa Pele adalah yang terbaik di antara mereka,” katanya.

Pada era sebelum persaingan antara Messi-Ronaldo, perseteruan antara Pele dan Diego Armando Maradona dari Argentina menjadi topik utama sukan bola bola sepak. – AGENSI

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X