Selasa, 24 March 2020 | 2:58pm
LEE Tuck menimang segulung tisu pada 19 Mac lalu.
LEE Tuck menimang segulung tisu pada 19 Mac lalu.

Hanya suka-suka: Tuck

KUALA TERENGGANU: Arkitek skuad Terengganu FC (TFC), Lee Tuck secara berseloroh mengharapkan peminat setia bola sepak skuad Penyu tidak terasa hati dengan cara dia melakukan 'cabaran duduk rumah' dengan menunjukkan bakat menimang segulung tisu tandas.

Katanya, cabaran itu diakhirinya dengan aksi melucukan menggunakan punggung sebenarnya tidak dirancang dan hanya suka-suka selain berkongsi kemahiran yang ada dan bukannya berniat lain.

Tambah pemain berdarah campuran Malaysia-England itu, cara berkenaan juga bukannya menjadi amalannya sebagai satu bentuk senaman sebaliknya cara mengisi masa lapang di rumah.

"Tak lah.. haha..saya menimang tisu tandas ini hanya untuk suka suka saja. Peminat usah ambil hati dengan situasi itu, ia sekadar untuk mengisi masa terluang di rumah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19," kata Tuck yang sudah memasuki musim ketiga menyarung jersi skuad Penyu.

Terdahulu gelagat pemain berusia 32 tahun itu yang pernah menyarung jersi Negeri Sembilan pada 2017 memuat naik video dalam laman sosial menunjuk bakatnya menimang segulung tisu tandas pada 19 Mac lalu ditonton seramai 7,500 orang dan 1,105 tanda suka.

Ketika pandemik Covid-19 yang semakin menular di seluruh dunia, ramai bintang bola sepak dunia memperagakan bakat mereka dengan pelbagai cara di kediaman masing-masing.

Berita Harian X