Ahad, 22 March 2020 | 9:42pm
Pemain Melaka Uche Agba (kanan) berjaya melepasi pertahanan Felda United pada aksi Liga Super. - Foto BERNAMA
Pemain Melaka Uche Agba (kanan) berjaya melepasi pertahanan Felda United pada aksi Liga Super. - Foto BERNAMA

Sulaiman kecewa MU dipotong mata

MELAKA: Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Sulaiman Md Ali kecewa apabila pasukan Melaka United (MU) dipotong tiga mata susulan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, pihaknya percaya pemain dan jurulatih turut sedih dengan perkembangan itu, apatah lagi, sudah bertungkus lumus untuk memenangi perlawanan.

“Malah peminat serta penyokong tegar Melaka lebih kecewa. Semua ini adalah akibat kewangan, secara kebetulan pula saya sebagai Ketua Menteri ketika ini,” katanya.

Jumaat lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM mengumumkan MU dipotong tiga mata atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan.

Situasi itu menyaksikan MU yang ketika ini menghimpun enam mata untuk menghuni tangga ketiga terperosok ke tangga ke-11 liga selepas kutipan mata menjadi tiga.

Sulaiman berkata, beliau yang baru dilantik sebagai presiden selaras perlembagaan MUSA memerlukan sedikit masa untuk melihat semula dan meneliti setiap sudut persatuan terbabit.

“Insya-Allah berilah saya sedikit masa melihat semula dan meneliti setiap sudut persatuan terbabit. Apa yang perlu diperbaiki akan dibaiki.

“Walaupun kedudukan presiden ketika ini dari segi perlembagaannya adalah saya, tetapi ia terpulang kepada saya untuk menentukannya nanti," katanya.

Berita Harian X