Sabtu, 21 March 2020 | 6:34pm
Presiden baharu MUSA, Datuk Sulaiman Md Ali.
Presiden baharu MUSA, Datuk Sulaiman Md Ali.

MU optimis tak dipotong enam mata lagi

KUALA LUMPUR: Melaka United (MU) optimis dapat mengelak daripada dipotong enam lagi mata selepas sudah dipotong tiga mata semalam, susulan kegagalan melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai seperti dijanjikan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Farhan Ibrahim melontarkan keyakinan terhadap kemampuan pengurusan yang kini diterajui presiden baharu yang juga Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali dapat membantu menyelesaikan masalah terbabit.

“Dengan perubahan pucuk kepimpinan MUSA diketuai presiden baharu nanti, pihak kami yakin segala kekangan dan masalah ini akan dapat diselesaikan dengan kadar segera.

“Ini bagi memastikan pasukan MU tidak dikenakan tindakan selanjutnya iaitu pemotongan enam mata lagi sebelum 30 April 2020,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai keputusan Mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung pemotongan tiga mata yang dikenakan, Farhan menjelaskan pihaknya akur dengan ketetapan yang diputuskan badan induk itu.

“Kegagalan untuk menjelaskan tunggakan 2019 yang berbaki RM1.4 juta adalah berikutan kekangan kewangan dihadapi persatuan biarpun sebahagian besar dana penajaan bagi musim 2019 digunakan untuk menjelaskan hutang manakala dana sumbangan penajaan daripada penaja bagi musim 2020 masih belum diterima setakat ini.

“MUSA juga mengakui kegagalan yang mengakibatkan pemotongan mata ini tidak bersangkut paut dengan keadaan politik semasa dan wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

“Ini kerana tempoh masa yang diberikan oleh FAM untuk menjelaskan segala tunggakan adalah wajar dan ditambah pula tempoh lanjutan yang dipohon sehingga 14 Mac 2020 oleh mantan Presiden, Damian Yeo Shen Li,” katanya.

Berita Harian X