Sabtu, 21 March 2020 | 4:14pm
Setiausaha Afung KAFA, Husin Deraman.
Setiausaha Afung KAFA, Husin Deraman.

Kelantan tagih bantuan FAM, MFL

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) boleh memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi khusus membantu pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang terjejas susulan penangguhan liga ketika ini.

Penularan COVID-19 jelas ‘menghuru-harakan’ saingan liga tempatan sehingga memaksa ia ditangguhkan dan situasi ini menyebabkan tiada perlawanan dapat dilangsungkan sekali gus menjejaskan kutipan tiket yang diperlukan bagi menampung perbelanjaan pasukan.

Justeru, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menerusi Setiausaha Agungnya, Husin Deraman mengharapkan dua badan induk itu boleh mengambil modul sama seperti apa yang dilakukan kerajaan bagi mengurangkan beban ditanggung industri yang turut terkena tempias wabak terbabit.

“Kami berharap FAM dan MFL boleh mencari satu langkah terbaik untuk membantu pasukan yang terjejas kerana tiada kutipan tiket ketika ini.

“Pakej rangsangan ekonomi seperti yang diperkenalkan kerajaan mungkin boleh dijadikan contoh untuk membantu industri bola sepak di negara ini.

“KAFA pun tidak mendapat hak penyiaran penuh kerana perlu melunaskan hutang, jadi memang kami memerlukan bantuan sebegini kerana kami tidak boleh bergantung kepada kutipan tiket buat masa ini.

“Sekurang-kurangnya, FAM dan MFL mungkin boleh memberikan geran khas pasukan khususnya yang terjejas dengan situasi ini. Besarlah harapan KAFA sekiranya bantuan ini dapat diberikan.

“Malah, bukan sahaja FAM dan MFL namun kerajaan pun perlu mempertimbangkan juga sedikit bantuan untuk membantu industri bola sepak yang ketika ini turut berdepan masalah sama seperti industri lain,” katanya.

Terdahulu, KAFA mungkin terpaksa mengambil pendekatan memotong gaji pemain bagi mengelak kantung mereka terus ‘sesak’ susulan penangguhan Liga M akibat wabak COVID-19.

Husin sebelum ini menjelaskan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pemain untuk mengemukakan cadangan terbabit memandangkan kewangan mereka ketika ini agak terjejas tanpa hasil kutipan tiket kerana tiada perlawanan dapat dilangsungkan.

“Kita harap pemain dapat memberi kita sedikit ruang berhubung isu pembayaran gaji kerana ketiadaan perlawanan menyebabkan pendapatan kita berkurangan.

“Ketiadaan perlawanan juga menyebabkan kita susut kira kira RM100,000 bagi setiap perlawanan di mana kutipan tiket memang diperlukan untuk menampung perbelanjaan pasukan.

“Jadi kita akan bertemu pemain dan cuba berbincang mengenai keperluan untuk memotong gaji. Ia bukanlah pemotongan tetap namun lebih bersifat sementara sehinggalah liga bersambung kembali nanti,” katanya.

Sebagai rekod, Husin memaklumkan KAFA memerlukan sekitar RM500,000 ke RM600,000 sebulan untuk kos pengurusan dan operasi pasukan.

Berita Harian X