Jumaat, 20 March 2020 | 9:26pm

Melaka United kena potong 3 mata

KUALA LUMPUR: Melaka United (MU) berdepan padah selepas dikenakan pemotongan tiga mata serta merta susulan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan.

Situasi itu menyaksikan MU yang ketika ini menghimpun enam mata untuk menghuni tangga ketiga terperosok ke tangga ke-11 liga selepas kutipan mata menjadi tiga.

Perkembangan itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang turut membincangkan kes membabitkan MU, PDRM, Kelantan dan Sarawak hari ini.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menjelaskan MU berjaya membuat penyelesaian lebih separuh daripada tunggakan gaji pemain dan pegawai serta membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak pada 31 Januari lalu.

“Namun selepas itu, tiada sebarang pembayaran bagi baki yang masih tertunggak dibuat oleh MU seperti mana jadual pembayaran yang ditetapkan mereka dan ia perlu dijelaskan penghujung Februari 2020.

“Mereka didapati gagal menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan oleh mereka sendiri sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata ini.

“Justeru, FAM memberikan tempoh sehingga 30 April 2020 kepada MU untuk menyelesaikan masalah terbabit dan jika gagal, mereka berdepan tambahan pemotongan sebanyak enam lagi mata,” kata Stuart.

Sementara itu, Stuart turut mengesahkan PDRM yang sebelum ini dipotong tiga mata masih mengikut pelan pembayaran ansuran yang diberikan oleh mereka sebelum ini dan FAM berharap ia dapat diteruskan sehingga baki tunggakan itu selesai.

“Bagi Kelantan pula, FAM masih memantau pembayaran yang dibuat mereka menerusi jadual pembayaran yang sudah dipersetujui dan ditetapkan oleh mereka bersama pemain dan pegawai terlibat yang mana ketika ini masih berjalan lancar.

“Satu lagi pasukan iaitu Sarawak, tiada lagi tunggakan hutang dengan pemain dan pegawai apabila kes tertunggak sudah pun diselesaikan sepenuhnya.

“Sarawak cuma masih mempunyai tunggakan hutang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) sama seperti pasukan PDRM dan Kelantan yang turut mempunyai tunggakan hutang dengan agensi kerajaan ini sama ada LHDN, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Bagi pasukan-pasukan ini, tunggakan hutang dengan LHDNM, KWSP dan PERKESO itu perlu diselesaikan pembayaran atau pelan penyelesaiannya selewat-lewatnya pada 30 April 2020,” katanya.

Berita Harian X