Jumaat, 20 March 2020 | 4:40pm
Pierre-Emerick Aubameyang. - Foto Reuters
Pierre-Emerick Aubameyang. - Foto Reuters

Solskjaer rancang dapatkan Aubameyang

MANCHESTER: Manchester United kini memantau Pierre-Emerick Aubameyang ketika Ole Gunnar Solskjaer sedang merancang pembelian sensasi bernilai £50 juta pound (RM258 juta).

Pengendali kelab berpangkalan di Old Trafford itu dilihat mahu mengambil kesempatan daripada kontrak penyerang itu yang hampir tamat bersama Arsenal dengan tawaran lebih menarik.

Pegawai Gunners difahamkan sudah menerima kenyataan bahawa Aubameyang tidak mahu menandatangani kontrak baharu dan kelab itu lebih bersedia menerima bayaran berbanding tidak mendapat apa-apa jika kontraknya tamat.

Penyerang Gabon berusia 30 tahun itu hanya memiliki baki kontrak setahun dan boleh meninggalkan kelab itu secara percuma pada musim panas 2021apabila masih gagal membincangkan kontraknya sejak awal Januari.

Ketua bola sepak Arsenal, Raul Sanllehi dan pengarah teknikal, Edu mahu penyerang bernilai £56 juta pound (RM289 juta) yang juga penjaring terbanyak pasukan itu menandatangani kontrak jangka panjang bersama kelab itu.

Namun kini mereka boleh mendapat kembali semua dibayar buat pemain itu pada Januari 2018 selepas Man Utd menyatakan minat.

Barcelona dan Paris Saint-Germain adalah antara dua gergasi Eropah yang juga bersedia membelinya - dan kedua-dua kelab itu manawarkan saingan Liga Juara-Juara - satu daripada sebab utama Aubameyang masih belum menandatangani kontrak.

Sejak kehilangan Aaron Ramsey dan Jack Wilshere tanpa mendapat apa-apa beberapa musim lalu, Sanllehi dan pengarah urusan, Vinai Venkatesham menegaskan mereka tidak akan lagi berada dalam situasi sama.

Selain itu mereka juga mahu mengelak senario dua tahun lalu apabila Arsenal panik dan memberikan Mesut Ozil kontrak £350,000 pound (RM1.8 juta) seminggu.

Pemain tengah Jerman itu selain Bukayo Saka, Shkodran Mustafi dan Reiss Nelson, juga akan tamat kontrak pada 2021. - AGENSI

Berita Harian X