Khamis, 19 March 2020 | 3:11pm
Pengendali Terengganu FC II, Roshadi Wahab mengubahsuai corak latihan pasukannya dengan setiap pemain mengadakan latihan di rumah selain pemain perlu menghantar video latihan kepada jurulatih. - NSTP/Malik Muhamad
Pengendali Terengganu FC II, Roshadi Wahab mengubahsuai corak latihan pasukannya dengan setiap pemain mengadakan latihan di rumah selain pemain perlu menghantar video latihan kepada jurulatih. - NSTP/Malik Muhamad

COVID-19: TFC II berlatih di rumah, hantar video

KUALA TERENGGANU: Pendahulu Liga Perdana, Terengganu FC II (TFC II) mengamalkan pendekatan latihan di kediaman masing-masing dan pemain diwajibkan menghantar video latihan mereka kepada jurulatih setiap hari.

Ubahsuai latihan itu bagi memastikan tahap kecergasan setiap pemain sentiasa berada dalam keadaan terbaik sebaik Liga Malaysia (Liga M) disambung jika penularan wabak COVID-19 pulih sepenuhnya.

Ketua jurulatih TFC II, Roshadi Wahab berkata, pengubahsuaian latihan itu adalah bagi menyahut seruan kerajaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

"Kami bagi program latihan kepada setiap pemain dan mereka perlu berlatih sendiri di kediaman masing-masing selama dua jam sehari dan pemain juga perlu merakam video latihannya itu sebelum di hantar kepada jurulatih.

"Aspek utama diberi penekanan dalam latihan sendiri kepada pemain itu adalah berkaitan kelajuan dan ketangkasan, mereka perlu melakukan latihan dan menghantar video pada setiap hari kecuali Jumaat.

"Ini kerana pengubahsuaian latihan ini penting bagi memastikan momentum pemain berada pada tahap terbaik berikutan arahan PKP oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

"Sehingga kini saya berpuas hati kerana semua pemain mengikuti arahan dengan baik dan mereka menghantar video latihan," kata Roshadi ketika diminta mengulas mengenai program latihan pasukannya susulan arahan PKP oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin Isnin lalu.

Mengenai saranan sebahagian pihak yang mencadangkan saingan Piala Malaysia ditangguhkan terlebih dahulu atau dipendekkan susulan COVID-19, beliau bersetuju dengan cadangan itu.

"Pandangan saya ditangguhkan dahulu adalah lebih baik sehingga situasi wabak ini berkurangan dan bersesuaian dengan saranan kerajaan supaya segala aktiviti berkumpulan tidak diadakan buat masa ini," katanya.

Skuad Turtles yang turut dibantu penolong jurulatih, Sapian Wahid kini mengumpul 12 mata hasil empat perlawanan dan kini menghuni tangga teratas Liga Perdana.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X