Selasa, 17 March 2020 | 9:34am
FRF akan memohon kepada UEFA untuk menangguhkan saingan Euro 2020 susulan penularan COVID-19. - Foto Reuters
FRF akan memohon kepada UEFA untuk menangguhkan saingan Euro 2020 susulan penularan COVID-19. - Foto Reuters

COVID-19: Romania mohon UEFA tangguh Euro 2020

BUCHAREST: Persekutuan Bola Sepak Romania (FRF) akan memohon kepada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) untuk menangguhkan saingan Euro 2020 susulan penularan COVID-19 ketika sesi persidangan video yang dianjurkan badan induk bola sepak Eropah itu yang dijadual diadakan, hari ini.

Ibu negara Romania, Bucharest adalah salah satu daripada 12 bandar yang dipilih sebagai tuan rumah untuk kejohanan yang dijadualkan pada 12 Jun hingga 12 Julai itu.

“Salah satu tanggungjawab utama FRF ketika ini adalah melindungi komuniti bola sepak dan kesihatan orang awam menerusi langkah-langkah yang disyorkan pihak berkuasa Romania dan antarabangsa,” kata badan induk itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Presiden FRF, Razvan Burnleanu yang akan mengambil bahagian pada sesi persidangan video itu, berkata keputusan menangguhkan saingan Euro 2020 akan membolehkan kejohanan di peringkat domestik ditamatkan.

FRF sebelum ini menggantung semua perlawanan di negara itu susulan penulan COVID-19.

Romania dijadual berdepan Iceland untuk aksi separuh akhir kelayakan Euro 2020 pada 26 Mac ini bagi perebutan tempat ke pusingan seterusnya menentang sama ada Bulgaria atau Hungary.

Pemenang dalam perlawanan itu akan menyertai Kumpulan C bersama Belanda, Ukraine dan Austria.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X