Selasa, 25 Februari 2020 | 10:30pm

JDT, Kedah diramal tak bolos 22 gol

KUALA LUMPUR: Debaran saingan Liga Super musim ini semakin dirasai dengan hanya tinggal tiga hari sahaja lagi sebelum saingan utama bola sepak tempatan akan membuka tirainya.

Semua pasukan boleh dikatakan sudah bersedia sepenuhnya mengharungi musim ini berdasarkan persiapan yang dilakukan termasuk pembelian pemain baharu dan mengadakan aksi pramusim.

Masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa pasukan mana yang akan menyerlah dan pasukan mana yang mungkin dilabel skuad belasahan.

Setiap pasukan termasuk dua pendatang baharu, PDRM dan UiTM sudah pasti juga menyediakan senjata rahsia mereka yang bakal digunakan untuk berjuang dalam Liga Super musim ini.

Selepas menyenaraikan lima penjaga gol yang mungkin menjadi tumpuan dalam Liga Super, BH Sukan mendapatkan bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh untuk membuat penilaian awal mengenai benteng pertahanan.

Ulasan Serbegeth atau Shebby itu membabitkan semua benteng pasukan yang bakal bertanding di Liga Super.

Namun, agak mengejutkan apabila beliau yang juga bekas pemain pertahanan menyifatkan tiada pasukan Liga Super memiliki skuad 'kereta perisai' yang lengkap di bahagian penting itu.

Malah, Shebby membahagikan benteng Liga Super kepada dua kelas persaingan antara pasukan itu dengan hanya tiga pasukan berada dalam kelas pertama.

Berikut adalah ulasan keseluruhan pengkritik terkenal bola sepak tanah air mengenai benteng atau perisai di Liga Super.

KELAS PERTAMA

Setakat ini belum ada pemain dalam Liga Malaysia (Liga M) yang mempunyai standard tinggi seperti Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh. Memang tiada.

Malah, apa yang kita dapat lihat juga sehingga kini pertahanan Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sahaja yang sudah diuji di peringkat kompetitif iaitu Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Apa yang mengejutkan saya adalah pemain Kedah, Zulkhairi Zulkeply yang masuk mengisi tempat Renan Alves ketika aksi play-off ACL berdepan FC Seoul sebelum ini berjaya memberikan persembahan yang sangat baik.

Saya nampak dia boleh main walaupun hanya beberapa minit dimasukkan. Pemain pertahanan sebenarnya tidak kira umur, hanya membezakan mereka adalah kematangan.

Kadang-kadang apa pertahanan yang berusia 19 tahun, tapi permainan dia sudah matang. Ada juga yang sudah mencecah usia 30 tahun, tapi main macam budak-budak.

Rizal Ghazali juga boleh dianggap pertahanan yang bagus dalam liga tempatan selain Matthew Davies. Nama yang lain susah untuk saya sebut sebab kita kena akui tiada pasukan yang memiliki barisan pertahanan terkuat dalam Liga Super.

Ia kerana kalau kita nak kata lima atau 10 pemain pertahanan terbaik, ia akan automatik muncul di mata kita, tapi saya tak nampak. Hanya tiga pemain ini saja yang saya nampak.

Kita mempunyai pemain pertahanan yang secara individu baik, tapi kalau nak lihat secara keseluruhan barisan pertahanan sama ada gandingan empat, lima atau tiga pemain - mengikut formasi pasukan - tiada yang terlampau kuat.

Boleh dikatakan musim ini agak menarik kerana akan ada banyak jaringan gol kerana tiada pertahanan yang bagus. Malah, juara bertahan, JDT berdepan masalah utama mereka di bahagian pertahanan.

Tidak dinafikan kehadiran Davies dapat menguatkan lagi pertahanan JDT kerana walaupun beraksi di bahagian kanan, dia mampu membantu posisi pertahanan tengah.

Bagi Kedah, sikap mudah 'koyak' Alves harus diperbaiki. Perkara ini terpulang kepada pemain itu sendiri dan sebagai pemain yang profesional, dia sepatutnya lebih bijak dalam mengawal emosi dan mental.

Saya rasa kalau 22 perlawanan dalam satu musim, hanya pasukan Kedah dan JDT yang akan kurang dibolosi daripada jumlah perlawanan itu. Satu lagi pasukan kelas pertama dalam Liga Super ini adalah Selangor.

KELAS KEDUA

Sembilan lagi pasukan selain Kedah, JDT dan Selangor boleh dianggap berada dalam kelas kedua atau divisyen dua Liga Super.

Jika dulu Pahang mungkin kita boleh letakkan dalam kelas pertama, tetapi kali ini kekuatan mereka agak merisaukan.

Sebab saya meletakkan sembilan pasukan ini dalam kelab kedua adalah kemampuan mereka untuk mengalahkan antara satu sama lain.

Sama seperti yang saya katakan, tiada barisan pertahanan dalam Liga Super yang mempunyai kelebihan istimewa dan bagi pasukan kelas kedua ini, mereka dijangka akan mengalami jumlah gol bolos melebihi 22 gol - jumlah keseluruhan perlawanan liga.

Jika pasukan besar seperti Pahang dan Melaka United juga berdepan masalah di bahagian pertahanan, maka pendatang baharu termasuk PDRM dan UiTM bakal berdepan tugas lebih berat.

Apa yang pasti dua pasukan ini termasuk pasukan lain - FELDA United dan PJ City - harus bekerja lebih keras untuk berdepan jentera serangan berbahaya terutama dari JDT dan Kedah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X