Khamis, 13 Februari 2020 | 7:30am
PEMAIN PSG, Kylian Mbappe diasak pemain Dijon, Fouad Chafik pada aksi Piala Perancis di Stadium Gaston Gerard. - Foto Reuters
PEMAIN PSG, Kylian Mbappe diasak pemain Dijon, Fouad Chafik pada aksi Piala Perancis di Stadium Gaston Gerard. - Foto Reuters

PSG, Lyon ke separuh akhir Piala Perancis

PARIS: Paris Saint-Germain mara ke separuh akhir Piala Perancis selepas membelasah Dijon 6-1, kemenangan yang turut dibantu dua gol sendiri pihak lawan.

PSG mendahului permainan seawal 47 saat selepas Wesley Lautoa menampan hantaran lintang Mitchel Bakker ke gawang sendiri.

Ia adalah gol sendiri kedua dalam tempoh seminggu dijaringkan untuk PSG, yang turut menyaksikan Fernando Marcal dari Lyon menewaskan penjaga golnya sendiri hujung minggu lalu.

Bagaimanapun Dijon kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-13 menerusi Mounir Chouiar yang melakukan rembatan lencong rendah melepasi Keylor Navas.

PSG memulakan permainan dengan Angel Di Maria dan Mauro Icardi di bangku simpanan, dan Neymar tidak disenaraikan. Bagaimanapun skuad kendalian Thomas Tuchel diperkuat Kylian Mbappe dan Edinson Cavani yang tampil buat kali pertama dalam tempoh sebulan selepas hampir berpindah ke Atletico Madrid pada Januari.

PEMAIN PSG, Thiago Silva (dua dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Dijon di Stadium Gaston Gerard. - Foto AFP
PEMAIN PSG, Thiago Silva (dua dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Dijon di Stadium Gaston Gerard. - Foto AFP

Penyerang Argentina itu hampir meledak gol ke-200nya untuk kelab pada minit ke-21 selepas menerima hantaran Thomas Meunier, namun jaringan itu dibatalkan selepas pemeriksaan VAR kerana bola terkena tangan pemain Belgium berkenaan.

“Ia tidak mengapa kerana dia boleh menjaringkan gol ke-200nya pada Sabtu (menentang Amiens) atau Selasa (Borussia Dortmund). Saya tahu dia akan melakukannya,” kata Tuchel.

“Saya gembira kerana kami berhak dengan kemenangan ini. Ia persembahan hebat.”

Mbappe kembali meletakkan PSG di depan seminit sebelum rehat, diikuti jaringan Thiago Silva empat minit selepas babak kedua bermula dan Pablo Sarabia menambah dua gol yang di antaranya menyaksikan Senou Coulibaly tertampan bola ke gawang sendiri.

Sementara itu pengendali Lyon Rudi Garcia menyingkirkan bekas pasukannya Marseille selepas Houssem Aouar meledak gol tunggal permainan pada minit ke-81. – AFP

PEMAIN PSG, Edinson Cavani (kiri) beraksi dalam perlawanan menentang Dijon di Stadium Gaston Gerard. - Foto Reuters
PEMAIN PSG, Edinson Cavani (kiri) beraksi dalam perlawanan menentang Dijon di Stadium Gaston Gerard. - Foto Reuters

Berita Harian X