Jumaat, 31 Januari 2020 | 7:51pm
Zidane masih mahukan Bale berada dalam pasukannya di Real Madrid walaupun pemain itu hampir meninggalkan pasukan musim panas lalu. - AFP
Zidane masih mahukan Bale berada dalam pasukannya di Real Madrid walaupun pemain itu hampir meninggalkan pasukan musim panas lalu. - AFP

Zidane masih 'sayang' Bale

MADRID: Zinedine Zidane berkata hari ini dia “tidak terfikir” Gareth Bale akan meninggalkan Real Madrid sebelum tamat perpindahan Januari ini.

Bale hampir menyertai pasukan Liga Super China, Jiangsu Suning musim panas lalu dan akhbar England, Times melaporkan hari ini bahawa pemain Wales itu sedang berbincang untuk menyertai semula bekas kelabnya, Tottenham.

Namun sumber di Spurs memberitahu AFP mereka tidak mengadakan perbincangan untuk mendapatkan Bale bulan ini.

Sumber lain yang rapat dengan pemain itu awal minggu ini mengatakan “tiada yang berubah” dan dia tidak akan meninggalkan Real Madrid pada Januari.

Ditanya sama ada wujud kemungkinan Bale dijual hari ini, Zidane berkata dalam sidang akhbar: “Gareth masih bersama kami, saya mengharapkannya. Saya tidak terfikir mengenai kemungkinan ini.”

Zidane enggan mengesahkan sama ada pemain itu akan kembali selepas kecederaan untuk menentang pasukan tetangga, Atletico Madrid di Santiago Bernabeu esok.

“Saya tidak akan memberitahu anda siapa akan bermain,” kata Zidane. “Semua pemain perlu bersedia.” - AFP

Berita Harian X