Khamis, 30 Januari 2020 | 12:53pm
PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA).
PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA).

KAFA berdepan hukuman berganda

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berisiko menerima hukuman berganda sekiranya gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan mereka.

Ia kerana, selain berdepan hukuman daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), KAFA juga berisiko dikenakan hukuman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman mengesahkan sekurang-kurangnya tujuh kes membabitkan bekas pemain import dan pegawai pasukan itu berada di FIFA dengan jumlah tunggakan kira-kira RM4 juta.

Katanya, kes itu membabitkan dua bekas jurulatih, Marko Kraljevic dan Sathit Bensoh selain beberapa pemain termasuk Cristiano Santos, Bruno Lopes, Mohammed Ghaddar, Alaeddine Bouslimi dan Abou Bakr Al-Mel.

"Sekarang ini tiada arahan lagi dari FIFA kerana mereka baru membuat laporan. Tapi ada kes FIFA sudah minta kami kemukakan alasan," katanya kepada BH Sukan, semalam.

"Kita harap sempat menghabiskan (saingan) tahun ini (sebelum FIFA buat keputusan) dan kita juga berharap penyokong dapat memenuhi stadium yang mana ia dapat menyumbang dana untuk KAFA menyelesaikan hutang."

KAFA pernah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata oleh FIFA musim lalu selepas persatuan itu gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA bagi menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas Pengarah Teknikal, Alfredo Carlos Gonzalez.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan kes dilaporkan kepada FIFA tidak termasuk dalam tempoh akhir diberikan kepada Kelantan dan pasukan lain untuk menyelesaikan tunggakan gaji hingga Jumaat ini.

"Contohnya, jika ada (tunggakan gaji) 20 pemain termasuk lima import dan dalam jumlah pemain import itu, dua daripada mereka sudah lapor kepada FIFA, kami tak boleh ambil dalam pengiraan (tindakan yang akan diambil FAM).

"Ia kerana kes mereka sudah masuk ke FIFA dan FIFA yang akan ambil tindakan. Kami hanya akan pantau (dan ambil tindakan) bagi kes 18 pemain yang tinggal (tiada kes dengan FIFA) saja.

"Pengurusan (Kelantan) sekarang mengambil alih hutang lama, tapi daripada tempoh pengurusan baharu ambil alih, banyak yang mereka sudah bayar dan ia satu perkembangan sangat positif," kata Stuart.

Berita Harian X