Ahad, 19 Januari 2020 | 1:07pm
PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah.
PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah.

Salah idam jaringan pertama berdepan United

LONDON: Mohamed Salah mengakui Manchester United menggunakan pendekatan berbeza apabila berdepan dengannya berbanding pemain pasukan lain. 

Pemain kebangsaan Mesir itu menjadi seorang daripada penyerang paling ditakuti di Eropah dan menjadi bintang Liverpool di bawah kendalian pengendali, Jurgen Klopp. 

Sebelum melayan kunjungan Manchester United tengah malam ini, Salah mengakui penggunaan taktikal digunakan United bagi mengekang pergerakannya itu kekal sebagai satu cabaran buat dirinya. 

"Saya fikir Manchester United menggunakan pendekatan berbeza apabila bertemu dengan saya berbanding pemain lain," katanya. 

"Mereka bertahan untuk mengekang saya dalam setiap pendekatan. Ia satu cabaran tetapi saya gembira dengannya. Selagi pasukan boleh meraih kemenangan, saya sentiasa gembira."

Apapun pendekatan digunakan United untuk mengekang Salah tampak berhasil apabila kelab berkenaan menjadi satu daripada dua pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris yang belum dibolosinya. 

"Sebagai pemain kamu tidak seharusnya meletakkan lebih tekanan dalam diri sendiri. Bagaimanapun, kamu tahu yang penyokong sentiasa mengharapkan kamu dapat bermain dengan lebih baik dan memberi lebih daripada yang kamu miliki tetapi kamu harus mengambilnya sebagai satu permainan normal. Kamu perlu meraih tiga mata dan meneruskan perjalanan.

"Untuk semua perlawanan, saya cuba belajar gerakan lawan sebelum kami beraksi. Saya cuba memikirkan cara untuk saya menjaringkan gol. Saya fikir, ia berlangsung dengan baik kerana saya menjaringkan banyak gol untuk pasukan. Banyak yang sudah saya pertingkatkan dan masih banyak ruang untuk saya meningkat."

Bergandingan bersama Roberto Firmino dan Sadio Mane, Salah membentuk satu barisan tiga pemain merbahaya dalam dunia bola sepak dan dia mengakui menikmati 'tekanan' berkenaan apabila beraksi di pentas tertinggi. 

Dia berpindah ke Anfield dari Roma pada 2017 dan sejak itu, dia mencipta banyak peluang dan membantu rakan sepasukannya berbanding pemain Liverpool yang lain dalam saingan liga. 

Walaupun dia tampak mampu untuk mengakhiri kemarau jaringan menentang United nanti, Salah bagaimanapun berkata: "Saya tidak boleh memberi tumpuan penuh kepada hanya untuk menjaring atau melakukan penyudah secara sendiri kerana ini bermakna permainan saya tidak banyak berubah dan lawan saya akan mengetahui bagaimana caranya untuk mengekang saya.

"Sekiranya saya memiliki bola dan mencipta peluang atau membantu, saya boleh mengelirukan mereka. Ia mempunyai hubungkait dengan kebijaksanaan."

United mengikat Liverpool dengan keputusan seri di Old Trafford pada awal musim ini dan mereka sedar betapa pentingnya untuk mereka mencipta satu keputusan yang lebih baik di Anfield bagi berada dalam kedudukan empat teratas yang diharapkan.

Kelab kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu kini berada di tangga kelima selepas 22 perlawanan, lima mata di belakang Chelsea (tempat keempat) dan 27 mata dibelakang pendahulu, Liverpool.  - Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X