Sabtu, 18 Januari 2020 | 12:35pm
Amri Yahyah. - Foto Hafiz Sohaimi
Amri Yahyah. - Foto Hafiz Sohaimi

Belum ada kata putus Amri ke Kelantan

KUALA LUMPUR: Selepas spekulasi perpindahan Norshahrul Idlan Talaha ke Kelantan tidak menjadi kenyataan, timbul pula khabar angin bahawa Amri Yahyah bakal menyarung jersi Red Warriors (TRW) musim ini.

Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari mengesahkan pihaknya pernah mengadakan perbincangan bersama wakil pemain berusia 38 tahun itu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan perbincangan berkenaan masih belum mendapat kata putus sama ada bekas pemain Selangor itu akan menyertai TRW atau sebaliknya.

"Mengenai Amri, ia satu spekulasi. Sebelum ini memang ada wakil dia yang datang jumpa kami untuk bawa Amri ke Kelantan. Perbincangan ada, tapi tiada kata putus.

"Kita sebenarnya menyerahkan semua keputusan kepada jurulatih (Yusri Che Lah) sama ada dia mahu atau tidak (Amri) bersama pasukan," katanya.

Amri sebelum ini juga pernah dikaitkan bakal berhijrah ke Perak selepas tidak menyambung kontrak bersama pasukan negeri kelahirannya, Selangor.

Selain itu, Wan Rakemi berkata, persiapan pasukan Kelantan sudah hampir 70 peratus lengkap dan hanya menunggu untuk mengikat pemain import.

"Seperti yang saya katakan kita memberi komitmen 100 peratus kepada jurulatih untuk menilai dan memilih pemain. Ketika ini kita sedang menguji beberapa pemain import," katanya.

Berita Harian X