Rabu, 8 Januari 2020 | 12:05pm
SADIO Mane dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Afrika 2019 buat kali pertama dalam sebuah majlis anugerah di Mesir. - Foto AFP
SADIO Mane dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Afrika 2019 buat kali pertama dalam sebuah majlis anugerah di Mesir. - Foto AFP

Mane rangkul gelaran Pemain Terbaik Afrika 2019

HURGHADA, Mesir: Bintang Liverpool Sadio Mane dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Afrika 2019 buat kali pertama dalam sebuah majlis anugerah di Mesir.

Penyerang Senegal berusia 27 tahun itu disaingi rakan sepasukan Liverpool Mohamed Salah, pemain Mesir yang memenangi anugerah itu selama dua tahun sebelum itu dan pemain Algeria Riyad Mahrez dari Manchester City.

“Saya benar-benar gembira dan pada masa sama saya bangga memenangi anugerah ini,” kata Mane dalam majlis anugerah yang dianjurkan Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) di bandaraya pesisir Laut Merah, Hurghada.

“Ia hari yang bermakna bagi saya.”

Mane menjadi bintang kedua dari Senegal yang menerima anugerah Pemain Terbaik Afrika selepas El Hadji Diouf - pemain terbaik benua itu pada tahun 2001 dan 2002.

Dia menjaringkan 34 gol dan membantu 12 jaringan dalam 61 aksi sepanjang tahun 2019, menurut statistik CAF.

Salah pula mengumpul 26 gol dan 10 bantuan jaringan dalam 55 perlawanan manakala Mahrez mengumpul 14 gol dan 18 bantuan jaringan dalam 48 perlawanan disertainya tahun lalu.

Pemain Senegal itu turut berkongsi anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris 2018/19 bersama Salah dan pemain Arsenal Pierre-Emerick Aubameyang dari Gabon.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Senegal. Mereka sentiasa bersama saya sepanjang masa, memberi dorongan kepada saya,” katanya. AFP

Berita Harian X