Khamis, 2 Januari 2020 | 5:25pm
STUART Wark hampir pasti menyarung jersi Terengganu FC musim ini. - Foto ihsan TFC
STUART Wark hampir pasti menyarung jersi Terengganu FC musim ini. - Foto ihsan TFC

Wark hampir pasti sarung jersi TFC

KUALA TERENGGANU: Pemain naturalisasi berdarah campuran Malaysia-Scotland, Stuart Wark hampir pasti menyarung jersi Terengganu FC (TFC) dalam misi memantapkan skuad itu musim ini.

Bekas pemain tengah PDRM musim lalu berusia 30 tahun itu sudah menjalani latihan bersama skuad Penyu sejak awal minggu ini dan berjaya memikat barisan jurulatih diketuai Nafuzi Zain.

Jurulatih kelahiran Kelantan itu menyifatkan Wark sebagai seorang pemain serba boleh dan mampu memberikan impak positif buat pasukan khususnya kepada pemain muda skuadnya.

Bagaimanapun Nafuzi enggan terburu-buru merantai pemain berketinggian 1.81 meter itu, sebaliknya memerlukan sedikit masa lagi untuk menilai prestasi sebenarnya.

"Beberapa hari lagi kami akan buat keputusan mengenai pemain itu dan berkemungkinan besar dia (Wark) ada peluang untuk bersama dengan pasukan TFC musim ini.

"Lagipun dia (Wark) pemain yang serba boleh dan mampu beraksi di semua posisi dan ia memberikan kelebihan serta bonus kepada pasukan," kata Nafuzi ketika ditemui selepas TFC membelasah pasukan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 10-0 dalam aksi pemanas badan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Selain menyarung jersi PDRM, pemain yang mula mencipta nama bersama kelab Lugar Boswell Thistle dalam Liga Scotland itu pernah bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) II pada 2015, Sabah (2016), Felda United (2017) dan Pulau Pinang pada 2018.

Pemain berbadan tegap yang mampu beraksi di posisi pertahanan juga berpengalaman bermain di Amerika Syarikat dan Australia selain pernah berada dalam senarai 36 pemain pasukan kebangsaan musim lalu di bawah kendalian jurulatih Tan Cheng Hoe.

Berita Harian X