Rabu, 1 Januari 2020 | 12:45pm
PEP Guardiola
PEP Guardiola

Man City pasukan Inggeris terbaik - Guardiola

MANCHESTER: Pep Guardiola menegaskan Manchester City adalah pasukan bola sepak Inggeris terbaik dekad ini, walaupun skuad kendaliannya memasuki tahun 2020 ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris Liverpool.

Statistik bagaimanapun mengiyakan kenyataan Guardiola apabila City memenangi 13 trofi domestik sejak tahun 2010, dengan hanya Chelsea (sembilan) paling hampir mengekori mereka.

“Saya rasa dalam tempoh sedekad lalu pasukan ini adalah yang terbaik daripada segi kutipan mata, jumlah gol, daripada pelbagai sudut, termasuk gelaran,” kata Guardiola.

“Apabila kami menganalisa setiap hari di sini, apa yang berlaku dari ke hari memberikan perspektif tentang apa yang dilalui sepanjang 10 musim lalu, terutama apabila pemilik dari Abu Dhabi mengambil alih kelab dan membawa pemain-pemain bagus serta pengurus yang menarik.”

Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich yang menyertai City pada tahun 2016 itu berkata: “Saya fikir kami melakukannya dengan luar biasa.

“Orang berkata ‘bagaimana tahun 2019?’ Kini orang mengatakannya ia satu malapetaka. Kami menang empat trofi pada tahun 2019 jadi ia musim yang menakjubkan, jadi kami menikmatinya.” – AFP

Berita Harian X