Selasa, 17 Disember 2019 | 2:05pm
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

JDT umum pemain baharu 20 Disember

JOHOR BAHRU: Pemain baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal membawa cabaran saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan akan diumumkan pada 20 Disember ini.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers akan mengumumkan pemain baharu termasuk pengumuman infrastruktur, aset-aset, nilai komersial kelab dan pemegang saham yang baharu.

Tunku Ismail berkata, terdapat projek baharu yang sedang dirangka dan ia pasti menimbulkan keterujaan bagi memastikan juara Liga Super enam musim berturut-turut terus mentranformasi pembaharuan dalam pembangunan bola sepak JDT.

"Saya merancang pada musim 2020 adalah sekadar untuk berada dalam keadaan ‘low profile’. Ia adalah perkara yang paling sukar untuk saya harungi. 

"Kerana saya lupa kami adalah JDT. Apabila kami melakukan sesuatu, kami akan lakukannya dengan hebat dan besar-besaran. Agak malang buat yang lain.

"Mereka sudah mengejutkan ‘harimau' yang sedang tidur. Sekarang harimau sudah bangun, cergas dan lebih bermotivasi.

“Sekarang saya akan merubah dinamik permainan ini dengan lebih ganas dan tiada belas kasihan," kata Tunku Ismail dalam kenyataan itu.

Sebelum ini Tunku Ismail mengesahkan hanya dua atau tiga pemain baharu akan di bawa ke skuad Harimau Selatan malah Baginda juga sudah membuat pengumuman tiada pemain dari skuad itu akan dilepaskan.

Baginda juga menegaskan kehadiran Liridon Krasniqi yang menjalani latihan bersama JDT baru-baru ini untuk membantu bekas pemain Kedah dan Melaka United (MU) menjalani proses pemulihan dan belum ada apa-apa perancangan sama ada mengumumkan pemain itu beraksi bersama JDT.

Berita Harian X