Sabtu, 14 Disember 2019 | 8:13am
Jurgen Klopp.
Jurgen Klopp.

Nikmati perjalanan Reds - Klopp

LONDON: Jurgen Klopp berkata tujuan dia menandatangani lanjutan kontrak yang mengekalkannya di Liverpool sehingga 2024 adalah untuk memberi jaminan serta menonjolkan kestabilan pasukan itu kepada sasaran pembelian baharu di masa depan.

Klopp yang dilantik mengemudi Reds pada 2015 membantu pasukan itu menjulang trofi Liga Juara-Juara pada Jun lalu dan ketika ini memiliki kelebihan lapan mata di puncak Liga Perdana.

Kontrak pengendali kelahiran Jerman itu sebelum ini dijadual berakhir pada 2022 dan selepas berulang kali berkata lanjutan kontrak bukan keutamaannya, dia merasakan ia adalah faktor utama untuk memujuk pemain baharu ke Anfield.

Jika dia mematuhi kontraknya, Klopp akan menjadi pengurus paling lama bertugas di Liverpool sejak Bob Paisley.

“Kelab sudah bertanya kepada saya agak lama mengenai sama ada kami boleh berbincang mengenai lanjutan dan saya fikir agak munasabah untuk melakukannya sebelum perkara menjadi lebih tegang,” kata Klopp. 

“Bukan sekarang kerana saya cukup tenang ketika ini, tetapi pada musim panas di mana kami perlu melakukannya sekali lagi. Dengan pemain-pemain yang kamu ingin bawa masuk, mereka akan bertanya ‘Berapa lama pengurus akan berada di sini?’

“Kami semua mahu mengelaknya jadi ia dimuktamadkan dan saya amat gembira mengenainya. Saya fikir ia adalah positif yang orang tahu saya akan berada di sini agak lama. Ia akan memberikan kami kestabilan.”

Klopp, 52, yang berada di landasan untuk menamatkan kemarau 30 tahun kejuaraan Liga Perdana dan sudah merevolusikan kelab itu sejak tiba di Anfield berkata mereka kini berada dalam ‘tempat yang baik.

Dia yang sebelum ini pernah memenangi dua gelaran Bundesliga bersama Borussia Dortmund dilaporkan hampir melengkapkan perpindahan perancang Red Bull Salzburg, Takumi Minamino. - AFP

Berita Harian X