Khamis, 12 Disember 2019 | 10:39am
Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho. - Foto Reuters

Mourinho nak jumpa lagi Bayern

MUNICH: Sekali pun tewas 3-1 kepada Bayern Munich, pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho mahu bertemu lawan itu lagi sekali di pentas Liga Juara-Juara.

Bayern tampil hebat untuk menang kesemua enam perlawanan Kumpulan B dengan menyaksikan Kingsley Coman, Thomas Mueller dan Philippe Coutinho muncul penyumbang jaringan kepada kelab Jerman berkenaan manakala gol saguhati Spurs dihasilkan pemain muda, Ryan Sessegnon, 19.

Tottenham mungkin tewas dengan jaringan lebih besar namun Mourinho masih melihat beberapa aspek positif sambil menyatakan ia tidak menghadirkan rasa gerun untuk bertemu Bayern di peringkat kalah mati.

“Ianya tidak akan berlaku sehinggalah suku akhir. Tetapi harapan saya adalah untuk kembali ke sini untuk perlawanan yang lebih sempurna,” kata Mourinho yang merekodkan kekalahan kedua daripada enam perlawanan sejak mula mengambil alih pasukan.

Mourinho berkata, penggiliran pemain membolehkannya lebih memahami kekuatan dimiliki pasukannya.

“Itu kualiti yang kita tahu ada padanya (Sessegnon). Dia seorang penyudah yang baik tetapi masih banyak yang dia perlu diperbaiki,” katanya. - Reuters

Berita Harian X