Ahad, 8 Disember 2019 | 11:41pm
SAFEE Sali

Safee kekal bersama PJ City musim depan

KUALA LUMPUR: Penyerang sensasi pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City), Safee Sali mengesahkan beliau kekal dengan pasukan itu untuk saingan Liga Super musim depan di sebalik spekulasi mengenai rombakan besar-besaran pasukan itu.

Beliau turut membayangkan musim depan pasukan itu bakal menampilkan beberapa muka baharu yang lebih berpengalaman dalam Liga Super bagi memastikan sasaran PJ City untuk menjadi antara lima pasukan terbaik liga tercapai.

"Siapa orangnya biarlah rahsia, tapi apa yang dapat saya katakan musim depan kita (PJ City) akan ada nama-nama besar arena bola sepak negara.

"Mereka akan membantu memantapkan lagi pasukan bagi menghadapi saingan pasukan-pasukan besar seperti Kedah, Johor DT dan Pahang," katanya ketika ditemui pemberita selepas kejohanan Piala Belia Eat Right To Play Right (ERTPR) anjuran syarikat insurans Zurich Malaysia di sini hari ini.

Safee yang juga bekas pemain kebangsaan dilantik sebagai duta program ERTPR yang menggalakkan pengambilan makanan bernutrisi dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak.

-- BERNAMA

Berita Harian X