Sabtu, 7 Disember 2019 | 11:54pm
PEMAIN Chelsea, Cesar Azpilicueta (tengah) cuba melepaskan rembatan sambil dihalang tiga pemain Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Goodison Park. - Foto REUTERS

Everton bikin The Blues gigit jari

LIVERPOOL: Chelsea mencatat kekalahan ketiga daripada empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dikejutkan Everton yang bangkit daripada aib saingan tetangga Merseyside pertengahan minggu dengan kemenangan 3-1, di sini, sebentar tadi, sekali gus keluar dari zon penyingkiran.

Bekas pemain pujaan di Goodison Park, Duncan Ferguson yang tampil selaku pengendali sementara susulan pemecatan Marco Silva pada Khamis lalu, jelas memulakan tugas dengan langkah kanan.

Jaringan awal setiap awal babak masing-masing menerusi Richarlison dan Dominic Calvert-Lewin meletakkan pasukan tuan rumah di depan 2-0, meskipun pelawat cuba bangkit melalui Mateo Kovacic, sebelum jaringan lewat permainan Calvert-Lewin, memastikan kemenangan mutlak.

PEMAIN Everton, Dominic Calvert-Lewin meraikan jaringan bersama rakan sepasukan Tom Davies ketika aksi menentang Chelsea. - Foto REUTERS

Tiga mata yang diraih Everton itu melonjakkan pasukan berkenaan di kedudukan selesa di tangga ke-14 manakala skuad bimbingan Frank Lampard kekal di tangga keempat. Namun ia mampu dipintas Wolves sekiranya dapat menewaskan Brighton esok.

Ferguson yang meraikan jaringan gol Everton dengan kegembiraan, bagaimanapun enggan mengulas mengenai peluangnya mendapat jawatan sebagai jurulatih sepenuh masa susulan kemenangan itu dengan memberitahun BT Sport: ” Saya berada di sini, kerana Everton. Saya akan kekal di sini, selagi saya diperlukan,”.

“Sudah pasti mereka mencari calon lain. Kami mahu pembimbing terbaik bagi mengurus kelab bola sepak kami,” katanya. - AFP

Berita Harian X