Khamis, 5 Disember 2019 | 10:53am
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp meraikan kemenangan bersama pemainnya selepas menewaskan Everton di Anfield, awal pagi tadi. - Foto AFP
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp meraikan kemenangan bersama pemainnya selepas menewaskan Everton di Anfield, awal pagi tadi. - Foto AFP

Klopp puji kualiti pemain 'simpanan' Reds

LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menghambur pujian terhadap pemain ‘simpanannya’ yang berterusan meningkatkan kualiti ketika Reds menewaskan seteru tetangga Everton 5-2, awal pagi tadi.

Klopp memberikan peluang kepada Divock Origi, Xherdan Shaqiri, Adam Lallana dan James Milner untuk berada dalam kesebelasan utama pada pertemuan itu dengan Adrian menggantikan Alisson yang menjalani hukuman penggantungan.

Origi membalas kepercayaan itu apabila meledak dua gol dan membuka tirai jaringan seawal minit keenam manakala Shaqiri turut meletakkan namanya selaku penjaring.

Sadio Mane dan Georginio Wijnaldum menyempurnakan jumlah gol yang dijaringkan pendahulu Liga Perdana itu yang meneruskan rekod tanpa kalah kepada 32 perlawanan.

Sambil menyifatkan perlawanan berkenaan sebagai penting, Klopp yang menurunkan barisan keduanya menyifatkan prestasi menentang seteru  Merseyside itu sebagai mengagumkan.

“Kami bercakap mengenai lima perubahan sebelum ini. Saya perlu menunjukkan rasa hormat kepada pemain-pemain atas apa yang mereka lakukan ketika latihan,” kata Klopp. 

“Banyak yang saya cakapkan mengenai kualiti yang kami ada dalam skuad jadi kami perlu menunjukkannya. Apa yang mereka buat menakjubkan. Gol Divock, hantaran Sadio, segala-galanya mengenai Shaqiri dan Lallana berada di mana-mana.

“Ada begitu banyak detik yang bagus tetapi dari masa ke semasa kami agak berkarat ketika bertahan. Mereka benar-benar memberi tekanan dan kami banyak berdepan dengan situasi bola kedua.”

Liverpool akan mengharungi lima perlawanan dalam tempoh dua minggu akan datang ketika saingan kempen Piala Dunia Kelab mula menghampiri.

Justeru, pengendali kelahiran Jerman itu berkata dia akan terus membuat penukaran dalam skuadnya ketika jadual semakin padat.

“Kami tahu pemain-pemain ini bagus. Kami tidak mempunyai skuad yang besar berikutan kecederaan tetapi pemain-pemain muda turut memberi kesan.” - Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X