Khamis, 5 Disember 2019 | 7:53am
NEYMAR dan Kylian Mbappe masing-masing meledak gol membantu Paris Saint-Germain (PSG) kekal di tangga teratas Ligue 1. - Foto AFP
NEYMAR dan Kylian Mbappe masing-masing meledak gol membantu Paris Saint-Germain (PSG) kekal di tangga teratas Ligue 1. - Foto AFP

Gol Neymar, Mbappe terus julang PSG

PARIS: Neymar dan Kylian Mbappe masing-masing meledak gol membantu Paris Saint-Germain (PSG) kekal di tangga teratas Ligue 1 dengan mendahului lima mata selepas mengatasi Nantes 2-0, awal pagi tadi.

Sentuhan bijak Mbappe sejurus babak kedua bersambung dan penalti minit akhir Neymar menyaksikan tuan rumah itu mudah mengatasi lawan di Parc des Princes.

PSG, yang dijadual bertemu Monaco minggu lalu tetapi ditangguhkan susulan cuaca buruk kini memburu gelaran ketujuh berturut-turut dengan satu perlawanan dalam tangan berbanding Marseille.

Pencabar terdekatnya, Marseille sebelum itu menang 2-0 di Angers.

Dalam aksi pagi tadi, Pengurus PSG, Thomas Tuchel buat pertama kali menggandingkan Neymar dan Mbappe musim ini dengan meletakkan Edinson Cavani dan Mauro Icardi di bangku simpanan.

NEYMAR ketika menjaringkan gol menerusi sepakan penalti. - Foto AFP
NEYMAR ketika menjaringkan gol menerusi sepakan penalti. - Foto AFP

"Gandingan mereka akan memberikan perbezaan yang besar pada Disember, kami memang mahukan perbezaan, mereka buat pertama kali digandingkan,” kata Tuchel.

"Bayangkan jika (Lionel) Messi dan (Luis) Suarez bergandingan pada Disember (untuk Barcelona)... mereka kekurangan rentak, saya tidak jangkakan banyak jaringan daripada mereka.

"Saya gembira dengan jaringan itu dan banyak lagi potensi jaringan untuk mereka.”

Mbappe meledak cubaan pertama tetapi terkena palang sebelum cubaan Nantes menerusi Ludovic Blas dinafikan Keylor Navas.

Neymar kemudian hampir mendahului menerusi rembatan padu kaki kirinya namun dinafikan VAR susulan kesalahan dilakukan Julian Draxler.

Cubaan pemain termahal dunia itu sekali lagi ditangkis penjaga gol pelawat, Alban Lafont.

Namun PSG memecah kebuntuan pada minit ke-52 apabila Mbappe menyudahkan hantaran Angel Di Maria yang dicetuskan Neymar.

Neymar menyempurnakan penalti untuk gol kedua ketika lima minit berbaki dengan Icardi yang dimasukkan sebagai pemain gantian turut sedia di kotak penalti.

Dalam pada itu, Saint-Etienne melonjak ke tangga kelima selepas merakam kemenangan 4-1 ke atas Nice, manakala Montpellier terikat seri 2-2 oleh Dijon.

Perlawanan Amiens menentang Reims pula ditangguhkan susulan kabus tebal.

Bordeaux pula terpaksa mengharungi perlawanan dalam kekecohan di Stadium Matmut semalam apabila sekumpulan penyokongnya berhimpun di dalam padang sambil mengadakan protes meminta Presidennya, Frederic Longuepee melepaskan jawatan sekali gus menyaksikan aksi itu tertunda 25 minit.

Bagaimanapun Bordeaux membelasah Nimes 6-0. – AFP

Berita Harian X