Ahad, 1 Disember 2019 | 12:29am
PEMAIN Real Madrid, Sergio Ramos meraikan jaringan ketika aksi menentang Alaves. - Foto REUTERS

Real rampas puncak La Liga

MADRID: Sergio Ramos meledak gol tetapi menghadiahkan penalti kepada pihak lawan ketika Real Madrid bergelut mengatasi Alaves 2-1, malam tadi untuk mendaki tangga teratas La Liga sebelum pertemuan di antara Barcelona dan Atletico Madrid, esok.

Menjelang pertembungan Barca dengan Atletico di Wanda Metropolitano esok, Real melakukan segala yang termampu untuk memburu kelebihan dengan jaringan Dani Carvajal mencetuskan kelegaan buat pelawat.

“Kami tahu di gelanggang ini, pasukannya akan memberikan segala-galanya melawan Real,” kata Marcelo. “Perlawanan seperti ini yang menentukan kejuaraan liga.”

Jurulatih Real, Zinedine Zidane berkata pasukannya berjuang sehingga wisel penamat ditiupkan untuk mendapatkan kemenangan.

Selepas permainan terikat tanpa jaringan berakhir babak pertama, Ramos meletakkan Real di depan pada minit ke-52 tetapi memberikan penalti kepada Alaves selepas menampan hantaran Joselu menggunakan tangan.

Kelebihan itu dimanfaatkan Lucas Perez untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-65 sebelum Carvajal meledak gol kemenangan Real, empat minit kemudian.

“Beberapa minggu lalu, ramai orang bercakap mengenai pasukan ini,” kata Zidane. “Tetapi kami kekal utuh, tetap tenang dan terus berusaha kerana ini hanyalah permulaan.” 

Kemenangan menyaksikan Real ketika ini memiliki kelebihan tiga mata di depan Barcelona tetapi bermain lebih satu perlawanan manakala Alaves kekal di tangga ke-13. - Reuters

Berita Harian X