Sabtu, 30 November 2019 | 7:31am
Gelagat penyokong salah satu kelab utama Liga Itali. - Foto hiasan/Reuters
Gelagat penyokong salah satu kelab utama Liga Itali. - Foto hiasan/Reuters

Kelab Serie A rayu penyokong henti perkauman

ROME: Sebanyak 20 kelab utama Liga Itali sepakat menulis surat terbuka kepada penyokong meminta mereka menghentikan perbuatan berunsur perkauman, sambil mengakui isu berkenaan memalukan Itali di seluruh dunia.

Surat terbuka itu hadir selepas masalah laungan berbaur perkauman dalam stadium berlarutan hingga menyebabkan kerancakan Serie A terganggu.

Isi kandungan surat itu antara lain menyatakan bahawa bola sepak Itali menanggung rasa malu dan kecewa namun pada masa sama mengakui kelab belum cukup berusaha menghapuskan isu berkenaan.

Juventus dalam surat rayuannya bersama AC Milan dan Inter Milan berkata mereka berganding bahu dalam usaha mengatur ayat sesuai dalam surat berkenaan.

"Memang wujud masalah serius berkaitan perkauman dalam stadium kami,” kata surat berkenaan yang menggunakan ayat penutup 'basta' (cukup).

"Kami sendiri gagal mencegahnya dan musim ini memberi imej memalukan dan ia sudah tersebar ke seluruh dunia.

"Dalam bola sepak sebagai nadi kehidupan, tiada siapa sepatutnya menderita angkara perkauman. Kami tidak lagi boleh berdiam diri dengan berharap ia berakhir begitu saja."

Masalah perkauman itu mencetus debat peringkat kebangsaan hingga beberapa pakar diundang memberikan saranan mengenai cara terbaik mengatasinya.

Bintang antarabangsa Itali, Mario Balotelli pernah mengancam meninggalkan padang dalam satu perlawanan Serie A menentang Verona, bulan lalu sambil kesal dengan perbuatan berkenaan penyokong berkenaan.

Oktober lalu, Roma terpaksa memohon maaf kepada pemain tengah Sampdoria kelahiran England, Ronaldo Vieira yang turut menjadi mangsa ejekan berbaur perkauman.

Masalah itu turut menyaksikan Lazio diperintah beraksi dalam stadium kosong selepas UEFA mendapati penyokong mereka mengejek pemain lawan ketika berdepan wakil Perancis, Rennes.

Presiden FIFA, Gianni Infantino dalam satu majlis makan malam September lalu turut membuat rayuan supaya isu terus ditangani dan ‘menendang terus’ masalah itu dari bola sepak Itali sebagai reaksi selepas melihat pertahanan Brazil yang mewakili Fiorentina, Dalbert Henrique meminta izin daripada pengadil untuk meninggalkan padang susulan tak tahan mendengar ejekan perkauman ke atasnya.

Penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku turut menjadi mangsa dan selepas beberapa kali mengemukakan aduan namun dia pula menerima kejutan apabila sekumpulan penyokong Inter menulis surat terbuka kepadanya dengan mendakwa laungan suara monyet yang mereka lakukan ke atasnya tiada unsur perkauman. – AFP

Berita Harian X